KOTA BHARU: Kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam memperlihat sokongan pengundi Melayu kembali kepada parti itu.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Aysraf Wajdi Dusuki berkata, pada masa sama ia menjadi rangsangan moral penting kepada kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Ia seperti dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan UMNO dan BN sebagai tunjang utama Kerajaan Perpaduan bagi meraih kembali sokongan Melayu yang selama ini dilihat menjauhkan diri.
“Secara khususnya, UMNO dan BN ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana beliau amat mengikuti (PRK ini) secara dekat dan membantu kami dalam pelbagai aspek.
“Bahkan Perdana Menteri sentiasa menghubungi Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan kepimpinan untuk memastikan kemenangan ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi memberitahu, kemenangan di Nenggiri adalah di luar jangkaan yang menyaksikan saluran anak muda berpihak kepada BN.
Katanya, ia termasuk di pusat daerah mengundi yang sebelum ini dikuasai Pas.
“Saya melihat mereka turun berkempen serta memberikan sokongan dan yang paling penting.
“Kita tidak jangka pengundi-pengundi luar yang selama ini secara tradisinya lebih berpihak kepada Pas, ramai beri sokongan kepada BN,” ujarnya.
Pada PRK Nenggiri, calon Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie menan dengan majoriti 3,352 undi sekali gus menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd. Rizwadi Ismail.
Awie memperoleh undian 9,091 manakala Mohd. Rizwadi 5,739 undi dengan undi ditolak sebanyak 135.-UTUSAN










