Keluarga harap dapat segera tuntut jenazah Cikgu Istiqomah - Utusan Malaysia

Keluarga harap dapat segera tuntut jenazah Cikgu Istiqomah

MOHD. YUSOF Mokhtar sambil diperhatikan bapa mentuanya, Ahmad Rozi Latimin menunjukkan kereta arwah isterinya di Kota Masai, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keluarga arwah guru wanita yang dibunuh kejam, Istiqomah Ahmad Rozi, 34, berharap dapat segera menuntut jenazah Allahyarhamah untuk dibawa dan dikebumikan di Pasir Mas, Kelantan.

Suami Allahyarhamah, Mohd. Yusof Mokhtar, 35, berkata, setakat ini mereka belum boleh menuntut jenazah isterinya kerana masih tidak menerima makluman daripada Unit Forensik Hospital Melaka mahupun pihak polis.

Malah, dia dimaklumkan pihak polis masih lagi menggerakkan usaha mengesan saki-baki anggota badan isterinya yang  belum ditemukan.

“Setakat ini, saya belum dapat panggilan sama ada daripada pihak polis mahupun hospital berkaitan urusan tuntutan jenazah arwah isteri. Saya difahamkan gerakan mencari bahagian anggota badan hilang yang lain masih diteruskan, namun saya belum mendengar apa-apa perkembangan terkini mengenai pencarian itu.

“Kami semua hanya tunggu dan berharap urusan tuntutan jenazah ini akan dapat diselesaikan secepat yang mungkin,” katanya ketika ditemui di Kota Masai, di sini.

Semalam, akhbar melaporkan pihak polis mengesahkan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang ditemukan disumbat di dalam tong sampah di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Melaka pada 31 Disember tahun lalu adalah Istiqomah Ahmad Rozi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah memaklumkan pengesahan itu hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan pada 2 Ogos lalu.

Pada 26 Disember tahun lalu,  Istiqomah yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, Pasir Gudang dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja, namun keretanya ditemukan keesokannya di sebuah pasar raya di bandar raya ini.

Mengulas lanjut, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, jenazah isterinya akan dikebumikan di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, selepas urusan tuntutan jenazah dibenarkan.

Pasangan itu dikurniakan tiga anak, Naura Auni, 9, Muhammad Naufal Amzar, 6, dan Nayla Aisya, 4. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×