KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak pernah menganak tirikan pasukan bola sepak yang mewakli negeri ini ke Sukan Malaysia (Sukma) 21 di Kuching, Sarawak sehingga didakwa tiada elaun serta pakaian rasmi kontinjen.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhammad berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) sentiasa menjaga kebajikan setiap atlet dan pasukan yang mewakili negeri ini pada temasya dwitahunan itu.
Menurutnya, pasukan bola sepak Sukma Kelantan turut dibekalkan pakaian rasmi kontinjen seperti semua atlet dan lain-lain pasukan yang mewakili negeri.
“Dalam kes pasukan bola sepak, pihak pengurusannya telah menjelaskan mereka tidak sempat pulang ke Kelantan untuk mengambil pakaian rasmi kontinjen kerana berlepas awal ke Sarawak selepas terlibat dalam perlawanan Piala Presiden menentang Sabah FC di Kota Kinabalu pada 8 Ogos lalu.
“Kelengkapan pakaian rasmi pasukan telah siap pada masa ditetapkan, cuma berlaku kelewatan beberapa kelengkapan seperti beg oleh pembekal untuk dihantar ke pejabat MSN Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial terdapat berita yang mendakwa pasukan bola sepak Sukma Kelantan tidak menerima elaun, pakaian rasmi kontinjen dan bantuan untuk menyertai temasya Sukma Sarawak 2024.
Dakwaan tersebut dikeluarkan selepas pasukan bola sepak Kelantan berjaya menewaskan pasukan Johor yang dibarisi kebanyakan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada aksi suku akhir temasya itu.
Zamakhshari memberitahu, pihak pengurusan pasukan turut menjelaskan isu baju berwarna warni yang dipakai barisan pemain semasa makan adalah disebabkan secara kebetulan pakaian rasmi skuad Piala Presiden Kelantan FA dihantar ke dobi untuk dibersihkan.
“Saya akan berbincang dengan pihak MSN mengenai kaedah untuk menyampaikan pakaian rasmi kontinjen kepada mereka.
“Saya juga berharap kejayaan menewaskan Johor pada peringkat suku akhir akan memberi suntikan semangat untuk mereka mara sehingga ke perlawanan akhir sekali gus mengutip pingat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata, MSN sebenarnya telah meletakkan atlet dan pasukan yang mewakili Kelantan dalam tiga kategori dengan kategori A merupakan pasukan serta atlet yang dinilai pencapaiannya melalui Sukma 2018 dan 2022 yang mendapat tajaan penuh daripada majlis.
“Kategori B pula menerima tajaan 70 peratus daripada MSN manakala atlet serta pasukan dalam kategori C ditanggung sepenuhnya oleh pasukan, tetapi akan diberi bayaran balik sekiranya berjaya mengutip sebarang pingat.
“Pasukan yang dipilih untuk mewakili negeri pada Sukma Sarawak adalah skuad Piala Presiden Kelantan FA. Melalui persetujuan bersama, pasukan itu diletakkan dalam kategori C dengan segala kos ditanggung oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di bawah kendalian pengurus pasukan, Datuk Azmi Ariffin,” ujarnya.-UTUSAN










