Anwar ke Rusia bertemu Putin, bincang pastikan bekalan bahan api stabil - Utusan Malaysia

Anwar ke Rusia bertemu Putin, bincang pastikan bekalan bahan api stabil

ANWAR Ibrahim (tengah) menghadiri Majlis Hi-Tea bersama Nelayan, Petani dan Penduduk di Pantai Leka, Parit Jawa, Parit Jawa, Muar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin bagi memastikan bekalan minyak dan gas yang stabil ke Malaysia di tengah-tengah ketidaktentuan global, ketika ini.

Katanya, mesyuarat berkenaan akan turut disertai pemimpin-pemimpin negara ASEAN lain.

“Esok, insya-Allah saya akan ke Kazan, Rusia kerana ketua-ketua negara mengadakan mesyuarat bersama Presiden Vladimir Putin. Saya nak tegaskan pertemuan dengan Putin adalah untuk memastikan bekalan minyak dan tenaga dapat disalurkan juga kepada kita.

“Ini rahsia kita berbaik dengan orang. Jadi insya-Allah, dalam dua hari saya akan dapat persetujuan supaya dia jamin penyaluran minyak, gas, dan diesel kepada Malaysia. Sekarang kita tiada masalah, tetapi ingat, negara-negara jiran kita ada yang bermasalah, kena beratur nak beli minyak.

“Ada satu negara ASEAN yang 400 stesen minyaknya ditutup kerana minyak tiada. Kita, Alhamdulillah, masih ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea bersama komuniti Nelayan, Petani dan Penduduk di Pantai Leka, Parit Jawa, Parit Jawa, di sini hari ini.

Tambah Anwar, kerajaan sedang mengambil pelbagai langkah proaktif untuk melindungi keperluan tenaga negara memandangkan ketegangan geopolitik dijangka terus menjejaskan pasaran global.

“Konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran merupakan amaran bahawa sebarang gangguan perkapalan di Selat Hormuz boleh membawa kesan serius kepada bekalan dan harga minyak global.

“Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif sedang berusaha untuk menamatkan konflik antara negara terlibat dengan penyelesaian dijangka boleh dicapai seawal Jumaat ini.

“Sekiranya Selat Hormuz terus ditutup, kesannya akan dirasai di seluruh dunia, termasuk di Malaysia melalui harga minyak yang lebih tinggi. Kita akan terus pantau perkembangan di sana,” katanya.

Menurut Anwar, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai antara harga bahan api terendah di dunia, dengan petrol RON95 terus mendapat subsidi yang besar ketika beberapa negara sudah menghadapi masalah kekurangan bahan api.

“Malaysia juga sedang meneruskan kerjasama dengan Turkmenistan untuk mendapatkan bekalan gas jangka panjang melalui Petronas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN