CALIFORNIA – Kebakaran hutan di San Bernardino County, California Selatan sejak semalam, menjejaskan sekurang-kurangnya 40.4 hektar tanah dan memusnahkan rumah.
Menurut Jabatan Bomba San Bernardino County, kebakaran Edgehill bermula di kawasan Shandin Hills dan merebak cepat ke kawasan kejiranan, membakar kediaman serta mendorong arahan pemindahan.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.
Suhu panas melampau dengan suhu mencapai tiga digit, memburukkan lagi keadaan, lapor The Guardian.
Jurucakap jabatan bomba, Eric Sherwin berkata, kira-kira 200 anggota dikerahkan untuk memadam kebakaran.
“Little Mountain adalah sebuah komuniti yang tidak asing dengan kebakaran.
“Penduduk di sini sedar akan kebakaran dan ancaman yang wujud. Semasa anggota bomba tiba, ramai sudah mula berpindah keluar dari kawasan ini,” katanya.









