Kampung Merdeka kini sepi, tidak sampai 10 penduduk

Kampung Merdeka kini sepi, tidak sampai 10 penduduk

PENDUDUK menunjukkan papan tanda Kampung Merdeka ketika tinjauan Utusan Malaysia di kampung tersebut di Teluk Intan. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pernah meriah dengan sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan setiap tahun sehingga dinamakan Kampung Merdeka.

Namun kampung itu kini sepi selepas penduduknya berhijrah mencari peluang pekerjaan di tempat lain dan ketika ini hanya terdapat tiga buah rumah yang masih berpenghuni dengan jumlah tidak sampai 10 penduduk.

Menurut seorang penduduk kampung itu, Anuar Arshad ,67, Kampung Merdeka suatu ketika dahulu mempunyai ramai penduduk dan sambutan Hari Kebangsaan sering diadakan di kampung itu.

Katanya, setiap kali ketibaan Hari Kebangsaan, kampung itu antara pilihan lokasi sambutan dengan pelbagai acara dianjurkan seperti memasang bendera Malaysia.

“Kampung ini dinamakan Kampung Merdeka kerana dahulu menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan. Penduduk bergotong-royong memasang Jalur Gemilang dan pada waktu malam meriah dengan bermain meriam serta mercun.

“Pada masa itu, penduduk kampung terdiri daripada pelbagai kaum dan suku kaum termasuk India, Cina, Jawa, Orang Asli serta Melayu dan mereka bersama-sama melaungkan kemerdekaan.

“Namun lama kelamaan disebabkan ramai yang berhijrah keluar untuk mencari pekerjaan, kampung ini semakin kurang penduduk dan kini hanya terdapat tiga buah rumah dan yang tinggal sekarang tak sampai 10 orang penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, Kampung Merdeka sebelum ini sering menjadi tumpuan orang luar kerana berdekatan dengan jalan kereta api dari Tapah yang menghala ke Kampung Tukang Sidin, Kampung Sungai Kerawai, Kampung Bahagia hingga ke bandar Teluk Intan bagi membawa pelbagai barangan dan penumpang.

Katanya, ketika itu kampung berkenaan memiliki kemudahan asas yang lengkap seperti bekalan air, elektrik, surau, kuil dan padang bola.

Seorang lagi penduduk, G. Subramaniam, 67, berkata, dua generasi daripada ayah dan datuk serta neneknya tinggal di kampung itu.

Katanya, dahulu Kampung Merdeka meriah kerana ramai penduduk namun sekarang hanya tinggal dia dan beberapa penduduk sahaja manakala penghuni lain merupakan warga asing yang bekerja di ladang.

“Semangat untuk menyambut kemerdekaan sudah hilang, kawan-kawan semua tinggalkan kampung ini. Yang ada hanya kenangan dan nama saja Kampung Merdeka sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN