Jakim anjur solat jenazah ghaib Ismail Haniyeh malam ini 

Jakim anjur solat jenazah ghaib Ismail Haniyeh malam ini 

ALLAHYARHAM ISMAIL HANIYEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat jenazah ghaib ke atas Ketua Biro Politik Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh di tiga masjid utama malam ini.

Masjid terlibat ialah Masjid Negara di Kuala Lumpur dan Masjid Putra serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, dengan solat diadakan selepas solat maghrib.

Ketua Pengarah Jakim, Datin Hakimah Mohd. Yusoff berkata, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi menunaikan solat jenazah ghaib itu sebagai tanda solidariti umat Islam di negara ini terhadap perjuangan umat Islam Palestin menentang kezaliman rejim zionis Israel.

“JAKIM amat berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Ismail Haniyeh yang kembali ke rahmatullah, semalam.

“Allahyarham adalah seorang tokoh disegani dan teguh dalam perjuangan membela nasib umat Islam di Palestin.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama syuhada serta golongan yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Haniyeh syahid dalam serangan udara ke atas kediamannya di Teheran, Iran, awal pagi semalam, ketika berada di negara itu untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharunya, Masoud Pezeshkian, kelmarin.

Pengawal Revolusi Iran menyatakan, Ismail Haniyeh terkorban bersama seorang pengawalnya dalam serangan itu, manakala Hamas dalam kenyataan pula memaklumkan kumpulan pejuang itu berkabung atas kematian pemimpin mereka yang terbunuh dalam serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Teheran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN