JELEBU: Kesemua bas yang beroperasi di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti atau (SBST) di negara ini akan tampil dengan imej baharu iaitu dengan rekaan berwarna merah jambu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penggunaan warna itu dipilih kerana lebih ceria, mudah dilihat, menyenangkan dan sangat dekat di hati rakyat terutama golongan muda.
“Kesemua tempat akan berwarna ini (merah jambu), jenama baharu dan berikan wajah baharu, kita telah mencari artis grafik untuk buat rekaan ini dan penggunaan warna merah jambu ini dicadangkan kerana lebih ceria.
“Dahulu mungkin sedikit membosankan, jadi kita tidak mahu lagi, kita mahu yang lebih ceria, terang supaya dari jauh orang boleh nampak dan naik bas dengan perasaan lebih ceria,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program SBST di Seremban bagi Pakej B di Terminal Bas Kuala Klawang di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan penjenamaan semula perkhidmatan SBST Seremban sebagai BAS.MY Seremban.
Anthony Loke berkata, selepas pelancaran program SBST di Seremban bagi Pakej B yang melibatkan tiga koridor iaitu Kuala Klawang, Kuala Pilah/Bahau dan Port Dickson, ia akan diikuti dengan Pakej A iaitu bagi koridor Nilai, Seremban dan Tampin seterusnya pelancaran di negeri-negeri lain.
“Program SBST ini ada di seluruh negara kecuali di Pulau Pinang dan Lembah Klang. Setiap negeri ini akan ada pelantikan kontrak baharu, ia tertakluk kepad masa yang berlainan kerana ada kontrak (terdahulu) yang belum tamat lagi, kena tunggu tamat barulah kita lantik yang baharu secara berfasa-fasa tetapi hari ini yang pertama dilancarkan (kontrak baharu).
“Untuk kontrak baharu ini antara syaratnya syarikat operator yang dilantik mesti beli bas baharu. Saya menyeru pengendali-pengendali lain yang dilantik bagi program SBST untuk menyediakan bas-bas baharu dalam masa yang ditetapkan, sekiranya gagal, penalti akan dikenakan katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban memberitahu, Kerajaan Persekutuan membelanjakan sebanyak RM179.1 juta atau RM35.8 juta setahun bagi pelaksanaan SBST Seremban.
“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memberi perhatian kepada setiap aspek program SBST Seremban iaitu daripada rangkaian laluan, jenis bas digunakan, sistem pembayaran, maklumat atas talian dan penjenamaan.
“Sebagai contoh, di bawah program SBST Seremban bas-bas bersaiz lebih kecil yang lebih sesuai dengan permintaan setempat turut diperkenalkan. Bas-bas yang bersaiz kecil ini dapat mengurangkan kos operasi dan juga lebih mudah untuk melalui kawasan-kawasan yang sempit.
“Selain itu, bas-bas mini yang diperkenalkan adalah bas-bas mini yang bersifat lantai bas lebih rendah. Ini memudahkan lagi untuk penumpang naik dan turun bas selain mesra orang kurang upaya (OKU). Bas-bas yang digunakan juga ditambah dengan ciri ciri keselamatan seperti CCTV bagi memantau keselamatan penumpang di dalam dan di luar bas,” katanya.
Anthony Loke dalam pada itu berharap, dalam usaha menjadikan pengangkutan awam ini menjadi mod pilihan rakyat, ekosistem pengangkutan awam termasuk perhentian bas yang selesa, laluan pejalan kaki yang selamat dan papan maklumat yang jelas perlu disediakan dan ia melibatkan peranan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.-UTUSAN.










