PEKAN: Seorang ibu berdepan ujian cukup berat apabila kehilangan dua anak tersayang serentak dalam masa satu hari apabila kediaman mereka dirempuh lori dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin di Kampung Ketapang Hilir di sini awal pagi hari ini.
Kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 4.15 pagi tadi, mengorbankan nyawa kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Maran, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, dan adiknya Mohd. Waldon Faris, 21.
Ibu mangsa, Norrulaini Mohd. Hassan, 54, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan ketika itu mereka sekeluarga sedang tidur.
“Saya tidak boleh hendak cakap, tidak tertanggung kehilangan mereka, rasa hati saya Allah SWT sahaja yang tahu,” katanya ketika ditemui di Masjid An Nur Ketapang Hilir di sini hari ini.
Bercerita lanjut, Norrulaini memberitahu, sebulan sebelum kejadian, Nurnazatul Fasiha dikatakan sering meminta untuk tidur bersama dengannya justeru tidak menyangka permintaan tersebut adalah petanda anak kedua daripada empat beradik itu mahu pergi selama-lamanya.
“Sebulan dia (Nurnazatul Fasiha) hendak tidur dengan saya dan dia tidak mahu tidur ditempat lain. Ini adalah petanda rupanya Allah SWT hendak jemput dia,” katanya.
Sementara itu, abang sulung mangsa, Mohd. Fakrul Hafiz, 35, mengakui masih terkejut dengan kejadian menimpa keluarganya.
“Saya tidak sangka, walaupun mak dan ayah terselamat, tapi saya kehilangan dua beradik,” katanya memaklumkan jenazah Nurnazatul Fasiha dan Mohd. Waldon Faris yang bekerja sebagai tukang gunting rambut dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketapang hari ini.
Terdahulu, dua maut dalam kejadian lori merempuh rumah di Kilometer 5 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin di Kampung Ketapang Hilir di sini pukul 4.15 pagi tadi.
Mangsa, Nurnazatul Fasiha disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Mohd. Waldon Faris ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.
Kejadian terbabit turut mengakibatkan Norrulaini, suaminya, Nasruddin Othman, 64, dan anaknya, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, cedera ringan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang hilang kawalan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
Difahamkan pemandu lori yang disyaki positif dadah jenis Methamphetamine itu akan ditahan untuk tujuan reman esok sebaik sahaja rawatan selesai. – UTUSAN










