JERANTUT: Walaupun harga getah di kawasan lain naik RM4.50 sekilogram, namun golongan penoreh di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar mendakwa tidak merasai nikmat kenaikan harga komoditi tersebut.
Mohd. Zamri Mat, 58, dari Kampung Bukit Rang mendakwa, harga dijual tidak tetap sejak diuar-uarkan melebihi RM4 awal tahun lalu dan mereka hanya memperoleh antara RM3 hingga RM3.60 daripada pembeli berlesen di sini.
“Sejak diuar-uarkan kerajaan tentang kenaikan harga komoditi itu, saya tidak pernah merasai nikmat harga jualan melebihi RM4, malah beberapa kali sahaja memperoleh RM3.60 sekilogram ketika dijual dan kerap memperoleh RM3.30.
“Bagaimana saya hendak menyatakan nikmat kenaikan harga getah yang diuar-uarkan melebihi RM4 sedangkan kami kebanyakan penoreh di luar bandar dan pedalaman negeri ini memperoleh harga yang tidak masuk akal?” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kebanyakan penoreh getah keluasan berskala kurang dua hektar merungut harga yang tidak seimbang ataupun kurang seperti diuar-uarkan, seolah-olah berdepan hilang semangat untuk menoreh jika keadaan itu berterusan.
“Semalam saya jual getah beku/sekerap seberat 147 kilogram selepas menoreh selama hampir dua minggu dan memperoleh RM500 dengan harga pembelian RM3.40 sekilogram. Harga berkenaan cuma empat kali diperoleh dalam tempoh tiga bulan lalu.
“Mana mampu untuk berbelanja barang keperluan dapur, bil, persekolahan anak dan sebagainya bagi tempoh sebulan dengan keadaan harga baja dan racun rumpai juga meningkat termasuk penoreh juga berdepan cuaca yang tidak menentu?” katanya.
Selanjutnya, Zamri menambah, dia dan rakan penoreh tidak tahu punca harga dijual tidak mencapai antara RM4 hingga RM4.50 sedangkan kualiti getah beku/sekerap hampir sama di daerah ini.
Azmar Ibrahim, 59, dari Kampung Bukit Nikmat juga menyatakan masalah sama dihadapinya kerana harga getah kurang RM4 sekilogram.
Dia berkata, senario kehidupan susah penoreh getah akan berterusan sekiranya harga getah masih di bawah RM3.30.
Kata Azmar, sekiranya berterusan, keadaan kehidupan penoreh getah hampir sama seperti empat dekad lalu akibat harga getah terlalu rendah dan kerajaan perlu mencari mekanisme baharu supaya ada jaminan keselesaan pendapatan dalam kalangan penggiat komoditi tersebut. – UTUSAN










