Guru didakwa gagal lapor terima wang lebih RM33,000 - Utusan Malaysia

Guru didakwa gagal lapor terima wang lebih RM33,000

ABDUL AZIZ Husin (kanan) didakwa menerima rasuah sebanyak 33,870.10 daripada dua individu pada 2022 dan 2023 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang guru sebuah sekolah di Batu Pahat mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM33,870.10 pada tahun 2022 dan 2023.

Tertuduh, Abdul Aziz Husin, 54, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada lapan cahaya mata itu didakwa gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan pemberian wang berjumlah RM33,870.10 oleh dua individu termasuk seorang pemilik syarikat antara 9 November 2022 hingga 17 Januari 2023.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di cawangan sebuah bank di Kota Tinggi.

Dia didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Alice Voon Mei Ling memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM30,000, namun peguam bela tertuduh, Mohd. Razak Sharif meminta jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh mempunyai lapan anak dengan enam daripada mereka masih belajar.

“Selain itu, tertuduh turut menanggung ibu bapa yang sudah berusia dan tidak sihat. Tertuduh juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Batu Pahat.

Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×