Getah mahal tapi tiada penoreh

Getah mahal tapi tiada penoreh

PENGELUARAN getah asli Malaysia merosot.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kenaikan harga getah sehingga RM4.50 sekilogram bagai ‘tidak bermakna’ buat sebahagian pekebun di negeri ini kerana tidak ada pekerja mahu menoreh.

Ini kerana pekebun getah di negeri ini kira-kira 90 peratus membabitkan mereka yang berusia 70 tahun ke atas dan tidak mampu menoreh. Situasi itu sekali gus merencatkan hasrat mereka untuk menjana lebih pendapatan di sebalik kenaikan harga getah yang disifatkan tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Di negeri ini dianggarkan terdapat hampir 150 kebun getah dengan keluasan 600 hektar khususnya di Felda Chuping di sini tidak ditoreh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Blok 18 Felda Chuping, Izan Asmawi Habidan berkata, kenaikan harga getah sangat menggembirakan namun pekebun terpaksa berdepan masalah kekurangan tenaga kerja yang sebelum ini diambil dari Thailand.

Menurut beliau, kebanyakan peneroka yang 80 hingga 90 peratus berusia 70 tahun dan ke atas sudah tidak mampu untuk menoreh sebaliknya mereka mengupah pekerja.

Katanya, bukan tidak ada golongan muda melakukan kerja-kerja menoreh ini, namun jumlah tersebut tidak ramai tambahan pula dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Pada masa ini, hampir 150 kebun tidak bermasalah ketiadaan pekerja. Selalunya sebelum ini, kita ambil pekerja Thailand namun sekarang sudah tidak ramai kerana mereka juga sudah mengusahakan ladang sendiri di Thailand.

“Selain itu, permit kerja juga mahal sehingga mencecah ribuan ringgit. Ada juga yang datang sebulan atau dua bulan kemudian balik. Masalah keka­ngan tenaga kerja ini menjejaskan peneroka meskipun harga getah ketika ini mahal.

“Jika peneroka mampu mendapatkan hasil 1.5 tan metrik sebulan, mereka sudah mampu menjana pendapatan sehingga RM6,000 yang membabitkan 1,500 ke 2,000 pokok,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 200,000 pekebun kecil di seluruh negara kini menikmati harga tertinggi komoditi getah yang mencecah sehingga RM4.50 sekilogram dalam tempoh hampir 20 tahun.

Kenaikan harga getah antara RM4 hingga RM4.50 sekilogram itu membantu penoreh menjana pendapatan RM4,000 hingga RM6,000 sebulan bergantung keluasan tanaman komoditi tersebut.

Sebelum ini, harga getah antara RM3.50 hingga RM3.80 sekilogram
Sebagai rekod di Perlis sahaja, terdapat lebih 800 penoreh getah membabitkan Felda Chu­ping, Rimba Mas dan Mata Ayer.

Tambah Izan Asmawi, lazimnya, dua tenaga kerja atau penoreh ini mampu memotong sehingga 500 ke 600 kilogram getah seminggu.

Katanya, peneroka yang berusia sememangnya sudah tidak berkeupayaan lagi untuk memotong getah dalam kuantiti yang banyak meskipun pada masa ini harga komoditi itu meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN