PORT DICKSON: Sebanyak empat buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini susulan banjir yang berlaku semalam termasuk PPS terbaharu iaitu Balai Raya Kampung Sungai Raya, Linggi di sini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson, Kapten (PA) Mohd. Azri Abu Hassan berkata, tiga lagi PPS pula adalah di Balai Raya Kampung Tanjung Agas, Balai Raya Kampung Permatang Pasir kedua-duanya di Linggi dan di Dewan Bagan Pinang yang membabitkan insiden tanah runtuh.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 37 buah rumah terjejas dengan jumlah mangsa pula melibatkan seramai 111 orang,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain hujan lebat berterusan, fenomena air pasang besar yang berlaku turut memburukkan keadaan.
“Kejadian ini juga berlaku di negeri lain, bukan masalah perparitan tetapi paras air laut lebih tinggi berbanding di darat. Bagaimanapun, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu melihat masalah ini supaya ia tidak berulang,” katanya.-UTUSAN.










