JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) mempamerkan pelbagai pencapaian besarnya sepanjang 10 tahun memimpin Indonesia, termasuk kejayaan mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi lebih daripada kadar purata global.
Menurut Jokowi, pertumbuhan ekonomi Indonesia kekal di sekitar lima peratus, melebihi kadar purata global iaitu 3.4 peratus.
Beliau menekankan pencapaian itu di awal pembentangan Draf Belanjawan Negara (RAPBN) dan nota kewangan di Kompleks Parlimen, Jakarta, kelmarin.
Jokowi menegaskan, ekonomi negara mampu tumbuh secara konsisten meskipun berdepan pelbagai cabaran global sejak sedekad lalu.
Ini termasuk pandemik Covid-19, ketidakstabilan geopolitik, perang perdagangan, krisis dan bencana akibat perubahan iklim.
Sepanjang tempoh 2015 hingga 2024, beliau melaporkan Indonesia berjaya mewujudkan 21.3 juta peluang pekerjaan baharu, sambil menekankan nisbah hutang kekal rendah di antara negara-negara G20 dan ASEAN.
“Eksport Indonesia juga meningkat lebih daripada 70 peratus, mencecah AS$259 bilion (RM1.2 trillion) tahun lalu.
“Trend positif tersebut ditambah dengan dagangan tambahan dalam tempoh 51 bulan yang lalu,” katanya.
Beliau berkata, indikator kesejahteraan masyarakat juga meningkat ketara, yang dibuktikan dengan penurunan kadar pengangguran dan kemiskinan.
“Kadar pengangguran turun menjadi 4.8 peratus pada 2024, sementara kadar kemiskinan turun dengan ketara kepada 9.03 peratus pada tahun sama.
“Angka kemiskinan tegar juga menurun dengan ketara kepada 0.83 peratus,” kata Jokowi.- ANTARA










