Dilahirkan 31 Ogos 1957, wanita bangga diberi nama Merdeka

Dilahirkan 31 Ogos 1957, wanita bangga diberi nama Merdeka

MERDEKA Ahmad menunjukkan kad pengenalan yang tertera dia dilahirkan pada 31 Ogos 1957 bersama cucunya, Nur Amanda Damia ketika ditemui di Temoh dekat Kampar. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Bukan sahaja dilahirkan pada hari kemerdekaan negara pada pada 31 Ogos 1957, seorang wanita turut dinamakan Merdeka sempena hari paling bermakna buat negara itu.

Wanita itu dinamakan Merdeka Ahmad, 67, dan mengakui bangga dan bertuah kerana dilahirkan ketika negara mencapai kemerdekaan 67 tahun lalu.

Wanita kelahiran Taiping itu berkata, seperti mana anak merdeka yang lain, dia bukan sahaja menyambut ulang tahun hari lahirnya pada setiap 31 Ogos tetapi juga menyambut Hari Kebangsaan.

“Saya bersyukur kerana dilahirkan pada tarikh keramat 31 Ogos 1957. Ibu bapa memberikan nama saya Merdeka sempena hari kemerdekaan negara 67 tahun lalu.

“Ketika itu bapa saya adalah anggota Pasukan Kawalan Tempatan Persekutuan Tanah Melayu (Home Guard). Sudah tentu dia gembira dan tambah bersemangat apabila mendapat anak ketika negara mengisytiharkan kemerdekaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Tersusun Batu Tiga, Temoh di sini.

Menceritakan pengalaman mem­besar dengan nama Merdeka, wanita itu berkata, semasa zaman kanak-kanak, nama Merdeka kadang kala diejek rakan-rakannya.

Katanya, nama Merdeka kerap diteriak oleh rakan-rakanya semasa sambutan Hari Kebangsaan.

“Setelah umur 12 tahun, saya tidak malu lagi dengan nama itu sebaliknya rasa bangga dengan nama Merdeka apatah lagi saya memang dilahirkan pada 31 Ogos 1957,” katanya.

Menurutnya, lahir pada hari kemerdekaan negara membawa tuah kepadanya apabila menjadi antara 50 anak merdeka yang dipilih menyertai perhimpunan semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-50 pada tahun 2007 di Menara Kuala Lumpur.

Katanya, majlis tersebut akan menjadi antara kenangan dan pengalaman sambutan Hari Kebangsaan yang paling tidak boleh dilupakannya.

“Pada perhimpunan anak merdeka itu kami diraikan, kami rasa sangat istimewa. Itulah antara tuah dan istimewanya kami yang bergelar anak merdeka.

“Saya Merdeka, saya anak merdeka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN