Datuk antara 55 individu ditahan, terlibat aktiviti e-waste secara haram

Datuk antara 55 individu ditahan, terlibat aktiviti e-waste secara haram

MUHAMMED HASBULLAH ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Polis menahan 55 individu termasuk seorang `Datuk’ kerana terlibat dalam sindiket memproses sisa elektronik (e-waste) haram pada 5 Ogos lalu.

Penahanan suspek dilakukan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menyerbu tujuh kilang e-waste haram di tiga negeri.

Lokasi serbuan ialah Salong, Pekan dan Bukit Ibam di Pahang; Kuang, Rawang dan Bukit Tagar di Selangor; Rembau dan Gemencheh, Negeri Sembilan dan Simpang Renggam, Johor.

Ketua AMLA Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, hasil tangkapan, sebanyak RM43.19 juta hasil daripada aktiviti kegiatan haram itu  telah dibekukan.

Kata beliau, mereka ditahan terdiri 10 warga tempatan dan 45 warga asing berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun.

Beliau berkata, warga tempatan itu dipercayai berperanan sebagai pemilik tanah, penyelaras serta koordinator yang mengambil untung atas sewaan premis (kilang) dengan nilai puluhan ribu ringgit.

“Warga asing yang ditahan pula memainkan peranan membawa teknologi dan bahan kimia dari luar untuk pemprosesan e-waste selain juruteknik.

“Operasi fasa pertama ini mengesan kilang-kilang ini telah beroperasi sejak 2023 dengan mendapatkan bahan e-waste dari sebuah negara di Asia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sindiket itu akan memproses e-waste berkenaan menjadi jongkong dan blok logam dengan nilai mencecah RM70,000 satu unit sebelum diseludup ke negara luar.

Beliau menambah, sisa-sisa e-waste berkenaan telah diperoleh selepas dibawa masuk dari negara Asia ke negara ini untuk diproses.

“Sisa e-waste yang diseludup akan dibawa ke kilang yang beroperasi tanpa lesen dan tidak berdaftar dengan mengaji pekerja warga asing.

“Pelbagai aset seperti pallet, blok logam e-waste, kenderaan, jentera dan kilang bernilai RM43.19 juta telah disita selain tapak kilang juga telah dibekukan dan nilainya masih dalam penilaian,” katanya.

Beliau menambah, isu melibatkan e-waste disiasat dan diteliti secara menyeluruh termasuk mengesan siapa dalang di sebaliknya selain bagaimana ia dibawa masuk serta modus operandinya.

“Siasatan kita mendapati, kilang-kilang haram ini beroperasi di kawasan ladang kelapa sawit dan hutan jauh daripada laluan utama.

“Proses pembakaran atau peleburan dipercayai dilakukan waktu malam bagi melindungi aktiviti haram itu daripada dikesan,” jelasnya.

Muhammed Hasbullah berkata, serbuan pernah dibuat pihak berkuasa sebelum ini namun kilang itu dilihat kembali beroperasi.

“Perkara ini seperti ada yang tidak betul. AMLA akan pastikan kilang dan rangkaiannya ini diambil tindakan habisan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dalam usaha membanteras aktiviti pengubahan wang haram.

“Kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Selain mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984, Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Seksyen 135 Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×