Dari negara aman bertukar huru-hara

Dari negara aman bertukar huru-hara

Suasana di sekitar St. Andrew Gardens, Liverpool iaitu salah satu lokasi rusuhan yang tercetus sejak Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: United Kingdom (UK) berubah sekelip mata iaitu dari sebuah negara aman menjadi negara huru-hara yang menakutkan.

Kesan rusuhan beberapa hari lalu menyebabkan ramai penduduk imigran yang bekerja dan pelajar memilih berkurung dalam rumah atau jika perlu keluar mereka cuba menyembunyikan identiti.

“Ini merupakan kejadian terburuk kerana satu dunia tahu UK sebelum ini aman selain pelbagai rakyat dari semua negara bekerja dan belajar di sini termasuk di Liverpool,” kata Nur Hidayah Asilah Za’don, 35, ketika dihubungi semalam.

Nur Hidayah adalah pelajar tahun akhir Doktor Falsafah dalam Jurusan Kardiovaskular Psikologi di Universiti John Moores Liverpool berkata, dia sangat bimbang untuk keluar rumah kerana takut terserempak dengan perusuh.

Susulan rusuhan tersebut, kata beliau, majikan di negara itu kini banyak mengarahkan pekerjanya terutama imigran supaya bekerja dari rumah.

“Sebelum ini mereka sasarkan orang Islam tetapi kini imigran pula,” katanya.
Menceritakan pengalaman berdepan dengan rusuhan di St.Andrew Garden, Liverpool, Hidayah berkata, dia ketika itu bersama suaminya dalam perjalanan ke pusat bandar sebelum terserempak dengan pemprotes pada Sabtu lalu.

“Saya nampak ramai berkumpul dan polis sudah berkawal di situ. Nasib baik saya dalam kereta terus tutup muka dengan plastik sebab takut mereka sasar orang Islam.

“Kami terus batalkan rancangan ke pusat bandar dan sehingga sekarang duduk di rumah. Kami bersyukur kerana ada kawalan ketat oleh pihak berkuasa selain bunyi helikopter berlegar-legar juga melegakan kami,” katanya.

Sementara itu, Noor Aqmal Kamsani, 41, yang menetap di London sejak 2006 berkata, dia sekeluarga kini dalam keadaan berjaga-jaga kerana difahamkan pihak pemprotes merancang mengadakan rusuhan di beberapa kawasan sekitar London.

“Buat masa ini di London masih aman cuma arahan be­kerja dari rumah sudah dikeluarkan untuk mengelak dari apa-apa berlaku.

“Sebelum ini pernah berlaku rusuhan sebegini pada 2011 tetapi kerana kejadian tembak. Kami harap rakyat Malaysia doakan keadaan aman sedia-kala,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN