MUAR: Suspek yang disyaki membunuh tiga ahli keluarga termasuk ibu bapanya dan membakar kediaman mereka di Kampung Paya Redan di Pagoh, Jumaat lalu direman tujuh hari.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Muar, Fatin Dalilah Khalid bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.
Suspek yang berjaya ditahan selepas lima hari menghilangkan diri dibawa ke Kompleks Mahkamah Muar pada pukul 9.13 pagi dengan dikawal ketat oleh anggota polis.
Difahamkan, suspek yang masih bujang itu berjaya diberkas ketika merayau-rayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Tangkapan itu dibuat oleh pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah (BJSD) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar selepas menerima maklumat awam.
Dalam kejadian awal pagi Jumaat lalu itu, suspek dikatakan melarikan diri dengan menunggang motosikal ke Hentian Bas Bentayan, di sini sebelum menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di ibu Kota selepas membunuh pasangan warga emas, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, serta cucu, Noradriana Nor Hisyam, 11, serta membakar rumah pusaka didiami mereka.
Pasangan warga emas itu maut di lokasi kejadian, manakala cucu mereka meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.
Seorang lagi cucu perempuan yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan masih dirawat di HPSF. – UTUSAN










