LANGKAWI: Selepas lebih dua tahun tindakan terhadap isu pencerobohan tanah kerajaan di Bukit Malut di sini, penduduknya yang sebahagian besar warga Melayu Islam Kedah (MIK) terus menjalani kehidupan seperti biasa.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati penempatan itu seolah-olah tiada apa yang berlaku walaupun tindakan meroboh beberapa rumah oleh Permodalan Kedah Berhad (PKB) selaku pemilik tanah di situ pada 2022.
Kanak-kanak kelihatan bebas bermain sesama mereka manakala penduduk dewasa turun ke laut untuk menangkap ikan yang merupakan sumber pendapatan utama.
Malah, segelintir penghuni sedia ada di kampung itu dilihat terus melakukan kerja-kerja mengubah suai rumah masing-masing, selain terdapat juga dakwaan mereka cuba membina semula kediaman yang diroboh sebelum ini.
Pada 4 Mei lalu, program penempatan semula perumahan Bukit Malut antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Pembangunan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di Alor Setar.
Muhammad Sanusi berkata, perkara tersebut disentuh oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail agar perkara di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu diselesaikan segera setelah berlarutan sejak sekian lama.
Difahamkan, perkampungan Bukit Malut ketika ini turut didakwa didiami pelarian Rohingya yang menyelinap masuk untuk tinggal bersama-sama penduduk MIK sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, seorang penduduk dikenali sebagai Hashim, 40-an berkata, setakat ini tiada apa-apa tindakan susulan dibuat oleh mana-mana pihak selepas kerja-kerja merobohkan rumah penduduk yang belum diduduki dilaksanakan pada Jun 2022.
“Kami juga tidak diberikan apa-apa maklumat lain termasuk notis tambahan setelah notis asal yang diberikan oleh pihak terbabit pada tahun itu telah berakhir,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Pada 27 Jun 2022, akhbar ini melaporkan PKB mula bertindak terhadap pencerobohan tanah miliknya di Bukit Malut dengan merobohkan 41 buah rumah yang dibina secara haram di atas tanah berkeluasan 16.19 hektar.
Operasi merobohkan struktur rumah ditinggalkan serta rumah yang masih dalam pembinaan dilakukan selepas PKB mendapat perintah Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 12 April 2022 membenarkan kerja-kerja terbabit dilakukan.
Mengikut rekod, tanah tersebut sebelum ini berada di bawah Jabatan Perhutanan sebagai tanah rizab hutan simpan sebelum diserahkan kepada PKB untuk tujuan pembangunan komersial.
Seorang lagi penduduk, Abdullah, 40-an pula mempersoalkan langkah kerajaan terhadap rancangan untuk membina 1,200 buah rumah di kawasan berdekatan untuk didiami mereka dengan lebih sempurna.
“Saya pernah baca di akhbar tentang rancangan membina rumah untuk kami tetapi sampai ke hari ini tiada satu pembangunan pun dilakukan untuk kami beli dan tinggal di rumah itu,” ujarnya. – UTUSAN










