Bubbles O2 sasar nilai jualan RM22 juta - Utusan Malaysia

Bubbles O2 sasar nilai jualan RM22 juta

AIN Azizah Arifin (dua dari kiri) dan Ewon Benedick (tengah) pada Majlis Perasmian Pusat Pengilangan Baharu Bubble O2 di Kampung Kanchong Darat, Rantau, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Syarikat peneraju industri air mineral beroksigen jenama tempatan, Bubbles O2 Sdn. Bhd. (Bubbles O2) menyasarkan nilai jualan RM22 juta pada tahun depan.

Pengarah Urusan Bubble O2, Ain Azizah Arifin berkata, pihak syarikat yakin sasaran itu dapat dicapai menerusi pembukaan kilang baharu yang lebih luas di Kampung Kanchong Darat, di Rantau dekat sini.

“Kapasiti pengeluran di kilang baharu ini dapat dipertingkatkan dua kali ganda iaitu 200 peratus bagi memenuhi permintaan pasaran dari dalam dan luar negara.

“Dengan pengembangan ini, kilang mampu menghasilkan kapasiti pengeluaran 4,000 karton atau 100,000 botol sehari,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kilang Baharu Bubble O2 di Kampung Kanchong Darat di sini hari ini.

Terdahulu, pembukaan kilang baharu Bubbles O2 itu telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Menurut Ain Azizah, setiap tahun Bubbles O2 menyasarkan peningkatan jualan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada hasil jualan yang dicatatkan.

“Pada tahun ini, Bubbles O2 menyasarkan nilai jualan RM10 juta dan Alhamdulillah setakat Jun 2024 kami sudah melebihi sasaran dengan jualan melebihi RM15 juta.

“Kejayaan syarikat ini terserlah melalui peningkatan kapasiti pengeluaran sebanyak tiga kali ganda sejak akhir 2023 serta kejayaan menembusi pasaran antarabangsa seperti Brunei, Indonesia, Dubai dan Amerika Utara,” katanya.

Jelas Ain Azizah, sejak penubuhan Bubbles O2 pada 2019, jenama tempatan itu boleh didapati di 5,000 outlet tempatan termasuk Petronas Mesra, 7-Eleven, Aeon Big, Aeon, Lotus, dan Mydin.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berhasrat memperkembangkan rangkaian jenama Bubbles O2 untuk pasaran antarabangsa baharu di Amerika Syarikat, Afrika Utara dan United Kingdom menjelang akhir tahun ini.

“Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Restoran Rasa untuk pasaran di Amerika Syarikat telah dimeterai begitu juga di Afrika Utara.

“Sekarang kami masih meneroka dan mencari rakan strategik perniagaan dari London, United Kingdom,” katanya.

Tambah Ain Azizah, kejayaan yang dicapai oleh Bubbles O2 pada hari ini disokong oleh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) iaitu Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), SME Corp Malaysia dan SME Bank.

“Pernas pada tahun ini telah melabur sebanyak RM5 juta bagi pembelian mesin dan perbelanjaan operasi untuk syarikat Bubbles O2,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×