BRASILIA: Hakim Mahkamah Agung Brazil memerintahkan ‘penggantungan serta-merta’ platform X di negara itu, selepas media sosial tersebut gagal memenuhi tarikh akhir untuk melantik wakil perundangan dalam tempoh 24 jam.
Perkembangan itu adalah yang terbaharu dalam pertelingkahan berterusan antara Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes dan pemilik X, Elon Musk.
Dalam keputusan itu, Moraes memerintahkan penggantungan serta-merta terhadap platform X di negara itu sehingga semua perintah mahkamah dipatuhi, termasuk pembayaran denda berjumlah Real Brazil (BRL) R$18.5 juta (RM14.24 juta) dan pelantikan wakil perundangan di Brazil.
Moraes mengarahkan pengawal selia telekomunikasi Anatel untuk melaksanakan perintah penggantungan itu dan mengesahkan kepada mahkamah dalam tempoh 24 jam.
Dalam usaha untuk mengelakkan penggunaan rangkaian persendirian maya (VPN) bagi memintas sekatan, Moraes memberi amaran denda sehingga Real Brazil (BRL) R$50,000 (RM38,495), jika terdapat individu atau syarikat yang cuba mengekalkan akses kepada rangkaian media sosial berkenaan.
Terdahulu, X pada lewat Khamis menjangkakan Hakim Mahkamah Agung akan memerintahkan penutupan platformnya tidak lama lagi, selepas tarikh akhir yang ditetapkan untuk syarikat melantik wakil perundangan tamat.
Awal tahun ini, Moraes mengarahkan X untuk menyekat akaun tertentu yang terlibat dalam siasatan dipanggil ‘militia digital’, yang dituduh menyebarkan berita palsu dan kebencian.
Musk, yang mengecam perintah itu sebagai penapisan, bertindak balas dengan menutup pejabat platform di Brazil.
Pada masa sama, Mahkamah Agung Brazil turut menyekat akaun bank tempatan firma internet satelit Starlink, 40 peratus dimiliki oleh Musk, menyebabkan syarikat itu meminta mahkamah untuk menggantung keputusan tersebut.- REUTERS










