Bekas pesakit kanser selesai misi rentas 475km Sungai Pahang - Utusan Malaysia

Bekas pesakit kanser selesai misi rentas 475km Sungai Pahang

MOHD. ZAKI Yamani Azman berjaya menyelesaikan misinya merentas Sungai Pahang menerusi Ekspedisi Kayak Solo di jeti Pekan River Front di Pekan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Bekas pesakit kanser darah tahap tiga, Mohd. Zaki Yamani Azman, 35, atau turut dikenali sebagai Zaki Bijak berjaya menamatkan misinya merentas Sungai Pahang sepanjang 475 kilometer (km) menerusi Ekspedisi Kayak Solo hari ini.

Misi yang bermula dari Ulu Tembeling, Jerantut pada 8 Ogos lalu berakhir di Jeti Riverfront, di sini sekitar pukul 2 petang tadi.

Mohd. Zaki Yamani berkata, misi terbabit dilakukan bersempena 10 tahun dirinya dikesan menghidap kanser dan kini diisytiharkan doktor bebas sepenuhnya kira-kira dua bulan lalu selain bersempena menyambut bulan Kemerdekaan.

“Misi utama saya untuk memberi kesedaran kepada pejuang-pejuang kanser agar tidak putus asa dan meneruskan perjuangan sehinggalah mereka bebas penyakit ini.

“Setakat ini saya rasa misi saya insya-Allah tercapai berdasarkan sambutan diterima daripada orang ramai sepanjang perjalanan ini. Saya ingin memberi inspirasi kepada penghidap kanser sebagai mana pegangan saya, ‘kanser bukan tiket untuk mati’,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menyentuh cabaran dihadapi sepanjang misi terbabit, Mohd. Zaki Yamani memberitahu, selain daripada segi cuaca, cabaran yang paling besar buatnya adalah jeram dan pam pasir.

“Berada di sungai Pahang, saya terpaksa berhadapan dengan jeram dan pam pasir yang sangat banyak. Kalau hujan ribut pula kita bergantung jenis dan tahap hujan.

“Kalau tiada kilat dan angin tidak kuat kita masih boleh jalan tapi kalau angin sahaja pun kita sudah tidak boleh jalan, tidak boleh kayuh kerana angin datang daripada depan, daripada hilir, jarang angin daripada belakang. Daripada segi keselamatan, kita kena tengok situasi semasa. Kalau keadaan tidak mengizinkan, lebih baik kita jangan meneruskan perjalanan,” ujarnya.

Menghabiskan lebih RM3,000 wang simpanannya demi menjayakan misi terbabit, beliau berkata, dia tidak pernah mengharapkan sumbangan ataupun bantuan daripada mana-mana pihak.

“Saya pakai modal sendiri.. kadangkala ada rezeki dalam perjalanan. Kita tidak minta, tapi mereka yang bagi. Contoh pemilik rumah rakit akan beri penginapan percuma. Kadang rumah sangkar beri tumpang tidur,” katanya.

Sementara itu, anak bongsu daripada lima beradik itu mula menghidap kanser pada 2014 dan sebelum ini turut dikenali dengan beberapa misi lain antaranya Jelajah Borneo dengan RM1 dan Jelajah Semenanjung secara tumpang (hitch hiking). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN