KOTA BHARU: Bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Al Kindi di Pasir Mas mengalirkan air mata tanda syukur selepas berpeluang menyambung pengajian peringkat diploma Politeknik Kota Bharu (PKB) pada Isnin ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Alli Abi Thalb Wan Mohamed, 18, sebelum ini dia terpaksa melupakan hasrat itu ekoran masalah kewangan.
“Tempoh hari saya mendapat tawaran menyambung pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Perak, namun terpaksa menolaknya kerana kekangan kewangan.
“Ayah (Wan Mohamed Wan Zain, 47) tidak bekerja kerana menghidap kencing manis manakala emak sudah meninggal dunia dua tahun lalu. Ketika ini abang ipar yang banyak membantu dari segi kewangan,” katanya semasa menerima surat tawaran menyambung pengajian yang disampaikan oleh Pengarah Politeknik Kota Bharu, Fikri Ismail di sini semalam.
Pada masa sama, Wan Alli Abi Thalb turut menerima sumbangan sebanyak RM4,000 daripada Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dan Umno Bahagian Ketereh.
Wan Alli Abi Thalb memberitahu, sumbangan itu melonjakan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh di PKB.
Katanya, dia nekad mengubah masa dengan keluarga dengan menggenggam segulung diploma.
“Apa pun saya bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang dikurniakan ini,” ujarnya.










