SHAH ALAM: Murid perempuan berusia lapan tahun, Y. Ayushi mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pengarang buku paling muda di negara ini.
Rekod itu diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) selepas kanak-kanak berkenaan melancarkan buku sulungnya, ‘Unicorn dan Little Amanda’ hari ini.
Menurut Ayushi, minatnya dalam bidang penulisan timbul selepas membaca lebih 4,000 buku termasuk novel sejak berusia dua tahun.
Jelas murid Tahun Dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Sentosa itu, objektif penghasilan buku hasil karangannya bertujuan memberi inspirasi kepada kanak-kanak supaya minat membaca.
“Kecintaan saya alam dunia bacaan amat mendalam sehingga boleh menghabiskan satu novel berbahasa Inggeris dalam masa sehari.
“Justeru, saya mahu berkongsi minat itu dengan anak muda lain dan membuktikan bahawa membaca memang jambatan ilmu jika mahu terus berjaya,” katanya ketika ditemui di Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini, petang ini.
Terdahulu, anak tunggal itu menerima sijil pengiktirafan daripada pegawai MBOR, Edwin Yeoh dengan turut disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr. Gunaraj George.
Kata Ayushi, dia setakat ini telah menghasilkan empat buah buku selepas mula menulis sejak berusia enam tahun.
“Kesemua buku berbahasa Inggeris itu akan turut diterbitkan di pasaran tempatan kelak,” ujarnya.
Sementara itu, ibunya, C. Debagi, 34, minat membaca Ayushi mula dilihat sejak masih bayi ketika berusia enam bulan.
“Pada waktu itu, reaksi dia berbeza kerana teruja melihat kad ‘flash’ yang ditunjukkan saya bersama suami (M. Yeogeswaran, 34). Sejak itu, kami mendidiknya supaya terus membaca dan membelikan hampir 200 buku sebulan,” katanya.










