WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan semalam mengadakan perbincangan berhubung isu Asia Barat, termasuk usaha mengurangkan konflik dan menyelesaikan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS seperti laporan agensi berita al-Arabiya, dalam perbincangan menerusi panggilan telefon tersebut, Blinken turut berterima kasih kepada Putera Faisal atas usaha Arab Saudi membantu penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza yang sedang berdepan krisis.
Perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu juga menyentuh situasi di Yemen berhubung tindakan kumpulan Houthi menawan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Sana’a, baru-baru ini.
Blinken dan Putera Faisal berkongsi kebimbangan mengenai tindakan Houthi, yang memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah sedia parah di negara itu.
AS dan Arab Saudi yang lantang mengutuk tindakan Houthi, menyeru agar kumpulan tersebut menghentikan keganasan sebaliknya kembali ke meja rundingan.
Menurut kenyataan itu lagi, Blinken juga mengucapkan terima kasih kepada Putera Faisal atas peranan Arab Saudi sebagai tuan rumah bersama dalam rundingan keamanan di Switzerland yang bertujuan melaksanakan Deklarasi Jeddah serta menghentikan permusuhan di Sudan.
Blinken berkata, Angkatan Bersenjata Sudan perlu terlibat dalam rundingan dengan Pasukan Sokongan Pantas, memandangkan konflik di Sudan terus mengancam kestabilan serantau.
Kedua-dua pemimpin itu sering berhubung dalam usaha menangani konflik di Asia Barat dan membincangkan usaha keamanan.- AGENSI










