Ambil tindakan tegas sentuh isu 3R - Utusan Malaysia

Ambil tindakan tegas sentuh isu 3R

ANAK muda Pahang berhimpun pada Himpunan Solidariti Raja dan Rakyat Berpisah Tiada di Masjid Sultan Ahmad 1 di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 100 anak muda dan mahasiswa berhimpun sempena Himpunan Solidariti Raja dan Rakyat Berpisah Tiada di Masjid Sultan Ahmad 1 di sini hari ini bagi mengingatkan semua pemimpin politik agar tidak menyentuh aspek agama, kaum dan raja (3R) dalam berpolitik.

Pengerusi Majlis Mahasiswa Anak Pahang (Mampan), Aidid Fadhullah Abdul Sukor berkata, anak muda begitu mengambil berat tentang isu institusi diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong ke-16 iaitu Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kita perlu bagi tahu dan memberi isyarat kepada mereka (pemimpin), (kalau) hendak berpolitik berpada-pada.

“Anak muda di sini, kita ada pendirian dan isu 3R tidak perlu disentuh,” katanya kepada pemberita pada himpunan terbabit.

Kata Aidid Fadhullah, semua pemimpin yang menyentuh isu 3R perlu dikenakan tindakan tegas oleh pihak polis.

“Kalau mana-mana ahli politik membuat salah atau menyentuh isu 3R, semua patut dihukum tanpa mengira mana-mana parti,” katanya yang membuat dua laporan polis berhubung isu 3R di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa yang menyentuh isu kaum, agama, raja (3R) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Dalam rakaman yang tular di media sosial, bekas Perdana Menteri berkenaan dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×