KANGAR: Kerajaan negeri diminta lebih agresif mempergiatkan kempen dan usaha selain memberi sokongan khususnya terhadap program yang melibatkan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Soal Abu Bakar Hamzah (PN-Kuala Perlis), kempen TMPs susah memasuki lapan bulan dan berbaki 16 bulan sahaja lagi namun adakah sudah mencapai kejayaan ?.
“Tepuk dada tanya selera apa kejayaan yang kita capai untuk Tahun Melawat Perlis ini. Pegawai-pegawai kerajaan yang bertindak sebagai penyelaras untuk pastikan berjaya atau tidak kempen Tahun Melawat Perlis ini.
“Untuk Kuala Perlis, Alhamdulilah kita sudah selesai dengan antaranya menganjurkan malam citrawarna dan selepas ini akan berlangsung pula pesta air,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Abu Bakar juga memohon pertimbangan kerajaan negeri untuk bersama-sama membantu program-program yang dianjurkan beliau di Kuala Perlis yang melibatkan kempen bersempena Tahun Melawat Perlis ini.
Katanya, bantulah dengan menyalurkan peruntukan untuk program yang melibatkan kempen bersempena Tahun Melawat Perlis ini.
“Malam citrawarna baru-baru ini, saya tidak dapat satu sen pun. Terima kasih Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi RM70,000, Jabatan Belia bagi RM10,000, orang terus bercakap pasal kejayaan program ini.
“Kerajaan negeri perlu cakna, program yang melibatkan kempen Tahun Melawat Perlis perlu perlu diberikan perhatian dan sokongan,” katanya.-UTUSAN










