6 bulan carum YGMB, suami terkejut terima khairat kematian arwah isteri

6 bulan carum YGMB, suami terkejut terima khairat kematian arwah isteri

AMINUDDIN Adam (empat dari kanan) dan Wan Munadi (tiga dari kanan) menyerahkan Khairat Kematian Skim Emas YGMB kepada keluarga Mohd. Fakhruzzaman pada Majlis Ceramah Anti-Scam di JPN Kelantan, Tunjong di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Redang, Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini tidak menyangka layak menerima Khairat Kematian Skim Emas Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) lebih RM52,000 meskipun arwah isterinya baru enam bulan menyertai skim tersebut.

Mohd. Fakhruzzaman Ghazali,41, berkata, isterinya, Roslinda Mohd. Razali yang merupakan bekas guru di SK Penambang, PCB meninggal dunia pada 29 April lalu akibat jangkitan kuman selepas disahkan menghidap ketumbuhan pada kepala.

Menurutnya, dia bersama dua anak iaitu Nur Afreena Qaleesya,12, dan Nur Afreena Zaheera,6, kini masih terkesan dengan kehilangan arwah Roslinda yang sebelum ini hanya mengalami sakit gastrik.

“Arwah isteri meninggal dunia April lalu akibat jangkitan kuman dan dia merupakan pencarum Skim Emas YGMB bermula Oktober 2023 dengan bayaran bulanan sebanyak RM35.

“Saya tidak menyangka penyertaan arwah sebagai ahli baharu YGMB melayakkan saya untuk menerima manfaat dan bayaran khairat kematian dengan jumlah lebih RM52,000,”katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ceramah Anti-Scam di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Tunjong di sini hari ini.

Mohd. Fakhruzzaman bersama dua anaknya menerima Khairat Kematian Ahli Skim Emas YGMB arwah isterinya pada Majlis Ceramah Anti-Scam di JPN Kelantan, Tunjong di Kota Bharu hari ini.

Dalam majlis itu, Pengerusi YGMB, Aminuddin Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat menyerahkan Khairat Kematian Skim Emas sebanyak RM 52,003.60 kepada Mohd. Fakhruzzaman.

Mohd. Fakhruzzaman memberitahu, wang  tersebut akan diguna sebaiknya untuk perbelanjaan pendidikan bagi dua orang anaknya.

Katanya, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada YGMB kerana prihatin dalam menjaga kebajikan ahli-ahlinya yang ditimpa musibah.

“Sebelum meninggal dunia, arwah isteri ada berpesan kepada saya untuk menjaga kedua-dua anak kami. Arwah juga ada meluahkan agar tidak mahu saya melepaskan Nur Afreena Qaleesya ke asrama meskipun dia memperoleh keputusan 7A semasa ujian pertengahan tahun baru-baru ini,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Munadi berkata, tahap penerimaan guru muda terhadap skim perlindungan yang ditawarkan YGMB semakin meningkat.

Menurutnya, YGMB menerima maklum balas positif khususnya melibatkan Ahli Skim Emas dan skim baharu iaitu Ahli Skim Platinum hasil daripada program penerangan yang dijalankan secara berkesan di seluruh negara.

“Ramai dalam kalangan ahli yang menghidap penyakit kritikal dan membimbangkan terdiri daripada golongan guru yang masih muda dan aktif.

“YGMB ketika ini mempunyai lebih 110,000 ahli di seluruh negara. Jumlah itu dijangka terus meningkat selepas pengenalan Ahli Skim Platinum yang bersesuaian dengan keperluan semasa untuk warga pendidik,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN