10 projek Rumah Pahang tidak terbengkalai - Utusan Malaysia

10 projek Rumah Pahang tidak terbengkalai

PEMBINAAN projek Rumah Pahang di Felda Sungai Retang di Jerantut, Pahang sudah mencapai peratusan siap 60 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dakwaan 10 projek Rumah Pahang berada dalam kategori ‘sakit’ didakwa tidak benar kerana ia ketika ini dalam proses pembinaan dan menunggu kelulusan daripada pihak pejabat tanah dan jabatan-jabatan yang berkenaan.

Pengarah Urusan KMDI Holdings Sdn. Bhd., Datuk Azjuriyahti Azlan berkata, dakwaan itu tidak berasas dan berniat jahat bertujuan memfitnah syarikat ini sebagai pemaju yang menjalankan kontrak pembinaan rumah terbengkalai secara usahasama dengan pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).

“Status projek tersebut sehingga kini adalah seperti berikut. KMDI dan LPHP bersetuju memula dan menyiapkan projek di tiga lokasi pilihan iaitu di Felda Sungai Retang, Jengka 1 dan Jengka 11.

“Tiga projek itu kini dalam pembinaan dan sudah mencapai peratusan siap masing-masing 60 peratus di Felda Sungai Retang, Felda Jengka 1 (50 peratus) dan 70 peratus di Felda Jengka 11.

“Projek-projek lain di tujuh tapak (Keratong 7, Kampung Awah, Bukit Sagu, Kota Gelanggi 2, Jengka 12, Jengka 6 dan Bukit Tajau) masih menunggu proses kelulusan daripada pihak pejabat tanah dan jabatan-jabatan yang berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, pemaju bermasalah didakwa punca 10 projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di negeri ini kini dikenali Rumpah Pahang di kategori ‘projek sakit’ kerana sehingga kini tidak membayar tuntutan lima kontraktor utama berjumlah RM20.5 juta.

Kontraktor projek di Felda Jengka 1, Abd. Rahman Abd. Samad dilaporkan mendakwa, punca utama projek perumahan terbabit terbengkalai disebabkan pemaju ‘bermasalah’ yang merupakan rakan usahasama kerajaan ne­geri tidak membuat bayaran dituntut kontraktor utama.

Mengulas lanjut, Azjuriyahti berkata, projek di ketiga-tiga lokasi pilihan yang dipersetujui bersama sedang giat dibangunkan oleh KMDI setelah ditinggalkan oleh sub-kontraktor yang terlibat.

“KMDI dalam proses untuk mendapatkan kelulusan daripada pejabat tanah daerah berkenaan dan jabatan-jabatan berkenaan yang lain sebelum memulakan pembinaan dan menyiapkan unit-unit rumah di tujuh tapak lain dan sepatutnya didirikan untuk dijual kepada generasi baharu Felda.

“Setakat ini, hanya lapan unit rumah di projek rancangan Felda Sungai Retang yang didaftar dan ditukar nama kepada pembeli yang layak. Tujuh unit dalam proses kelulusan dan penyempurnaan tandatangan Perjanjian Jual Beli daripada LPHP.

“Baki 89 daripada 104 unit rumah masih dalam proses semakan pembiaya dan ada yang masih menunggu undian dan Surat Tawaran daripada LPHP. Untuk projek di Felda Jengka 11 masih dalam proses pengundian dan Surat Tawaran daripada LPHP manakala projek di Jengka 1 masih dalam proses mendapatkan Permit Iklan dan Jualan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu LPHP mengeluarkan Surat Tawaran kepada pembeli untuk unit-unit rumah di Felda Jengka 11 dan sebahagian di Felda Sungai Retang.

“KMDI diberi masa selama 24 bulan untuk menyiapkan projek bermula daripada tarikh pertama Perjanjian Jual Beli ditandatangan oleh pembeli. Untuk projek di Felda Sungai Retang, Perjanjian Jual Beli pertama ditandatangan pada 16 April lalu, KMDI masih ada masa lebih daripada 12 bulan untuk menyiapkan projek sehingga ke tarikh 15 April 2026, sedangkan peratusan siap sudah menjangkau 60 peratus dan kerja-kerja pembinaan sedang diteruskan sehingga kini.

“Manakala projek di rancangan Felda Jengka 1 dan Jengka 11 belum ada Perjanjian Jual Beli yang ditandatangan walaupun KMDI sudah menyiapkan 50 peratus di Jengka 1 dan 70 peratus Jengka 11.

“Untuk projek di rancangan Jengka 11, KMDI hanya menunggu undian dan surat tawaran daripada LPHP untuk diproses bagi membolehkan mana-mana individu yang terpilih memohon pinjaman daripada pihak pembiaya. Bagi projek di Felda Jengka 1 pula, pihak KMDI sedang dalam proses mendapatkan kelulusan Permit Iklan dan Jualan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan dijangka akan diluluskan pada bila-bila masa tahun ini,” katanya.

Jelasnya, ketiga-tiga projek ini dijangka disiapkan sepenuhnya untuk diserahkan kepada pemilik bertuah selewat-lewatnya pada suku pertama 2025, setahun lebih awal daripada tarikh akhir 15 April 2026 bagi projek di Felda Sungai Retang dan lebih awal untuk Jengka 1 dan Jengka 11.

“Walaupun KMDI belum menerima bayaran yang sepatutnya diterima bagi Bayaran Kemajuan Kerja dilakukan, syarikat terus melakukan kerja-kerja pembinaan di tiga tapak projek dipersetujui bersama dengan LPHP sehingga kini.

“Tujuh tapak projek lain dijangka dimulakan sepenuhnya pada awal 2025 dengan jangkaan siap pada selewat-lewatnya pada suku pertama 2026,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN