JOHOR BAHRU: Tiga lelaki warga Myanmar yang dikurung sejak dua minggu lalu adalah antara yang ditemukan Jabatan Imigresen negeri dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Kluang pada Rabu lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam operasi pukul 11.30 pagi itu, pihaknya menahan lima individu termasuk seorang wanita Myanmar berusia antara 26 hingga 49 tahun.
Katanya, sindiket yang beroperasi sejak enam tahun lalu itu dipercayai mengenakan bayaran RM5,000 kepada setiap individu bagi mendapatkan kad UNHCR tersebut.
“Hasil pemeriksaan, kita menahan empat lelaki dan seorang wanita warga Myanmar, salah seorang yang ditahan merupakan dalang sindiket tersebut.
“Dalam operasi itu, turut ditemui tiga lelaki warga Myanmar yang dikurung di premis tersebut sejak dua minggu lalu sebaik tiba di negeri ini dan tidak dibenarkan keluar,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Setia Tropika, di sini semalam.
Pihaknya merampas dua naskhah pasport Myanmar, 12 keping Kad Arakan, sebuah telefon pintar jenama Oppo, helaian borang pendaftaran UNHCR dan wang tunai berjumlah RM15,855.
Tiga lelaki Myanmar yang dikurung itu dipercayai masuk ke negeri melalui lorong tikus dan dikurung sehingga sindiket dapat mencari majikan yang mahu mengambil mereka bekerja secara haram.
Menurut Mohd. Rusdi, pergerakan sindiket itu tidak begitu dikenali dan sukar dikesan kerana mereka hanya menyasarkan etnik Arakan dari negara tersebut untuk bekerja di negara ini, namun mempunyai masalah dokumen perjalanan.
Kes disiasat di bawah Seksyen yang sama serta Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran 2007. – UTUSAN










