JOHOR BAHRU: Seorang wanita bukan sahaja patah hati, malah turut mengalami kerugian RM658,166 akibat ditipu ‘kekasihnya’.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, mangsa terpedaya selepas ditawarkan peluang perniagaan sebagai ejen kosmetik oleh suspek.
“Mangsa memaklumkan telah berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki itu menerusi aplikasi Telegram dan WhatsApp.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran perniagaan itu telah membuat 30 transaksi berjumlah RM658,166 ke dalam 11 akaun berlainan antara 14 Jun hingga 12 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pembayaran tersebut dipercayai mangsa sebagai bayaran penghantaran barangan kosmetik kepada pelanggan.
“Mangsa hanya berasa dirinya tertipu selepas panggilan video yang dibuat bersama suspek mendapati wajahnya tidak sama seperti gambar profil dalam aplikasi WhatsApp,” katanya sambil memberitahu mangsa telah membuat laporan polis semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN











