Wanita antara enam pengedar dadah ditahan di Port Dickson - Utusan Malaysia

Wanita antara enam pengedar dadah ditahan di Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Enam pengedar dadah termasuk tiga wanita ditahan dalam serbuan Op Tapis di Port Dickson di sini semalam dengan rampasan dadah keseluruhan bernilai RM14,029 yang boleh dibekalkan kepada kira-kira 320 penagih.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, enam suspek warga tempatan yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 22 hingga 44 tahun.

“Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson telah menjalankan serbuan dan tangkapan Op Tapis melibatkan enam suspek pengedar dadah warga tempatan semalam.

“Hasil operasi tersebut telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah berbahaya seperti heroin, syabu dan ganja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, anggaran jumlah berat keseluruhan rampasan dadah adalah 464.5 gram dadah jenis heroin, 15.35 gram dadah syabu dan 23.35 gram dadah ganja dengan nilai anggaran keseluruhan RM14,029.

“Jumlah dadah itu boleh dibekalkan kepada anggaran 320 penagih. Sebuah motosikal jenis Demak DVS 110 berwarna putih merah yang digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah telah dibuat sitaan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Tambah beliau, kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1852, Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua enam suspek telah direman sehingga 15 Julai depan untuk siasatan lanjut seterusnya akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN