MELAKA: Wang tabung Surau Al-Qamar Taman Bunga Raya, Bukit Beruang di sini terpaksa digunakan untuk membaiki kerosakan pendawaian elektrik apabila kubah surau itu dipanah petir dalam kejadian Sabtu lalu.
Pengerusinya, Hasan Daiman, 62, berkata, dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan pendawaian elektrik rosak dan perlu dibaiki segera kerana lampu, kipas, penghawa dingin dan dua sistem siar raya tidak dapat digunakan.
Menurut beliau, kerosakan itu menyebabkan azan tidak dapat berkumandang melalui sistem siar raya manakala bilal hanya melaungkan azan di hadapan surau.
“Tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana ahli kariah belum sampai untuk menunaikan solat Zuhur. Kerosakan pendawaian elektrik itu menyebabkan ahli kariah menunaikan solat dalam keadaan gelap semasa waktu Subuh, Maghrib dan Isyak.
“Selain itu, beberapa aktiviti ceramah agama juga tidak dapat dilaksanakan termasuk kelas mengaji yang terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Hasan, kerosakan terpaksa dibaiki segera menggunakan duit tabung surau dan sumbangan orang ramai bagi memudahkan ahli kariah menunaikan solat dalam keadaan selesa.
Ujarnya, pihaknya merayu Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Keroh dan Pejabat Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya untuk segera membantu.
“Laporan kejadian dan kerosakan telah dibuat kepada dua pihak berkenaan, namun sehingga kini belum ada sebarang bantuan disalurkan.
“Kerosakan yang dianggarkan mencecah RM120,000 perlu dilakukan segera kerana ahli kariah ketika ini menunaikan solat dalam gelap. Azan pun tidak dapat berkumandang setiap kali masuk waktu solat,” katanya. – UTUSAN










