UMNO dijangka ditawarkan 70 kerusi jika bersama PH

UMNO dijangka ditawarkan 70 kerusi jika bersama PH

MAZLAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO dijangka ditawarkan sekurang-sekurangnya 70 daripada 120 kerusi Parlimen majoriti Melayu di Semenanjung sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) terus bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, perkara itu mengambil kira kekuatan dan pengaruh UMNO di kawasan orang Melayu khususnya luar bandar berbanding PH yang hanya memiliki kelebihan di bandar dan pengundi bukan Melayu.

Justeru, beliau berpandangan keputusan BN mahu bekerjasama dengan PH dalam PRU16 memperlihatkan untuk menjaga survival politik orang Melayu dan kelangsungan politik UMNO.

“Sekiranya UMNO bersama Perikatan Nasional (PN), daripada 120 kerusi Melayu di Semenanjung Malaysia, mungkin jumlah lebih kecil kerana perlu bersaing bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sudah tentu mahu bertanding banyak kerusi.

“Jika BN dan UMNO bersama PH, ia dapat memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak. UMNO pun dapat menembusi kerusi Parlimen Melayu yang sukar dilakukan PH, akhirnya masing-masing mendapat tempias sama rata untuk mengekalkan kedudukan Kerajaan Perpaduan hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16, namun masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, walaupun kenyataan Ahmad Zahid itu bakal menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan komponen BN seperti MCA dan MIC, namun kedua-dua parti itu tiada pilihan untuk kekal bersama demi masa depan politik masing-masing.

Katanya, MCA dan MCA bakal senasib Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) sekiranya mereka memilih berkerjasama dengan PN dalam pilihan raya umum yang dijangka berlangsung dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menurut Mazlan, tidak dinafikan sokongan orang Melayu terhadap UMNO bakal terjejas dengan strategi bersama PH, namun lama-kelamaan mereka sudah menerima kenyataan bahawa kerjasama BN dan PH lebih menguntungkan semua pihak.

“Dahulu mereka dimomokkan kedudukan orang Melayu di bawah PH, namun perkara ini tidak berlaku sepanjang dua tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan malah lebih terjamin.

“Begitu juga dengan akar umbi UMNO, mereka telah pun menerima kehadiran DAP dan PRK menerusi kerjasama kerajaan Perpaduan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN