JOHOR BAHRU – Tiga mat rempit termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang melakukan aksi ‘wheelie’ dan ‘superman’ menerima padah apabila dicekup dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Skudai, Pantai Lido, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua mereka ditahan ketika operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bermula 5 petang semalam hingga 4 pagi tadi.
“Dalam operasi tersebut, tiga lelaki warga tempatan berusia 17 hingga 28 tahun yang melakukan aksi berbahaya tersebut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran motosikal palsu dan kes disiasat di bawah Seksyen 108 (3) (f) APJ 1987,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurutnya, lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan golongan remaja melakukan pelbagai aksi yang membahayakan diri serta pengguna jalan raya yang lain.
Dalam operasi itu, sebanyak 49 kenderaan diperiksa membabitkan seramai 54 individu dan daripada jumlah itu, 34 kenderaan disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 bagi pemeriksaan lanjut.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, sebanyak 73 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen memandu, ubah suai struktur kenderaan dan lain-lain kesalahan,” katanya. – UTUSAN











