BANGKOK: Thailand mengambil langkah untuk mengklasifikasikan semula ganja dan hemp sebagai narkotik selepas jawatankuasa yang ditugaskan mengawal dadah haram bersetuju bahawa ia tidak boleh digunakan secara riadah, lapor Bangkok Post.
Semua ahli jawatankuasa bersetuju bahawa ganja harus digunakan hanya untuk rawatan perubatan, kata laporan itu, memetik Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Surachoke Tangwiwat.
Majoriti bersetuju untuk meletakkan ganja dan hemp kembali dalam senarai narkotik, kata akhbar itu.
Jawatankuasa itu akan menyerahkan laporannya kepada Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik minggu ini.
Susulan kelulusan daripada agensi itu, jawatankuasa kemudian akan menggesa Pentadbiran Makanan dan Dadah untuk meminda undang-undang berkaitan ganja serta menyediakan kriteria mengenai penggunaan tumbuhan tersebut.
Peraturan baharu dirancang berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Ribuan dispensari ganja dan perniagaan berkaitan lain dibuka di seluruh negara sejak Thailand menjadi negara pertama di Asia yang tidak mengharamkan ganja pada 2022.
Kumpulan dan perniagaan advokasi ganja menyuarakan bantahan mereka terhadap dasar pusingan-U itu, mengadakan perhimpunan dan mengancam memfailkan cabaran undang-undang terhadap perdana menteri.- BLOOMBERG










