Tawar gaji setimpal bagi pekerja mahir bidang AI, pusat data - MB - Utusan Malaysia

Tawar gaji setimpal bagi pekerja mahir bidang AI, pusat data – MB

ONN HAFIZ Ghazi (tengah) menyaksikan penyerahan sijil tawaran pekerjaan daripada pihak syarikat kepada individu terpilih pada program Gegar Gerak Kerjaya Mega Myfuturejobs Johor di Stadium Tertutup MBJB Arena, Larkin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan berunding dengan beberapa penggiat industri bagi sektor kecerdasan buatan (AI) dan pusat data yang mengembangkan perniagaan di negeri ini untuk menawarkan pendapatan setimpal kepada tenaga kerja mahir tempatan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, syarikat terbabit dapat mengurangkan perbelanjaan dari segi kos perniagaan, tenaga kerja mahir dan utiliti berbanding beroperasi di Singapura.

Justeru, pihaknya akan terus mengadakan rundingan bagi memastikan tenaga kerja mahir tempatan yang bekerja di sektor tersebut ditawarkan pendapatan yang bertepatan atau sekurangnya separuh daripada yang dibayar di negara jiran berkenaan.

“Apabila semua infrastruktur telah disediakan, kos berniaga di sini rendah berbanding negara jiran, kos tenaga kerja adalah 70 peratus lagi murah berbanding negara jiran. Kalau semua lagi murah banding negara jiran, kenapa tak boleh naikkan gaji anak-anak muda kita di Johor.

“Pendapatan permulaan yang ditawarkan di sini kira-kira RM4,000 sebulan, manakala di Singapura mereka boleh bayar SG$4,000 bersamaan kira-kira RM14,000. Jika sebanyak itu dapat dibayar di negara jiran, kenapa tidak boleh bayar gaji tinggi sedikit di Johor?,” katanya semasa menutup program Gegar Gerak Kerjaya Mega Myfuturejobs Johor 2024 di Stadium Tertutup MBJB Arena, Larkin, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin. 

Dalam pada itu, Onn Hafiz memberitahu, Zon Kewangan Khas (SFZ) yang akan beroperasi di kawasan Forest City diyakini akan merancakkan lagi ekonomi negeri ini dan mampu menjadi salah sebuah pusat kewangan terpenting negara.

Beliau mengakui gembira dengan perkembangan SFZ susulan perbincangan tertutup yang diadakan bersama Menteri Kewangan Kedua baru-baru ini dan berharap kerajaan negeri serta agensi di bawahnya mengambil peranan untuk sama-sama menjayakan agenda besar tersebut.

“Forest CIty sebelum ini menjadi bahan politik dan dimomokkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, tetapi percayalah SFZ yang akan beroperasi di situ akan menarik pelaburan luar biasa ke Forest City dan menjadi salah satu pusat kewangan terbesar dalam negara.

“Insya-Allah, segala insentif berkaitan SFZ akan diumumkan pada akhir Ogos ini, sekali gus menjadi pemangkin sektor ekonomi di Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×