SEREMBAN: Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan bagi menggalakkan generasi muda di Negeri Sembilan lebih dekat dengan busana tradisional negeri ini termasuk tradisi pemakaian telepok
Kerajaan Negeri komited dalam terus menggerakkan lagi perancangan serta aktiviti dengan disasarkan kepada generasi muda mengenai Adat Perpatih serta tradisi pemakaian telepok.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd. Faizal Ramli berkata, didapati kini anak-anak muda semakin jauh daripada tradisi pemakaian bagi ibu soko itu selain mengenai Adat Perpatih yang diamalkan di negeri ini.
“Jadi kerajaan negeri dalam proses merancang apa juga aktiviti yang boleh menarik semula anak muda ini supaya mereka menjadikan telepok ini sebagai salah satu aksesori yang sering dipakai.
“Pemakaian telepok ini mesti diteruskan supaya dapat diwarisi, difahami dan dijiwai oleh anak-anak muda. Program-program berkaitan adat juga akan sering dijalankan dengan pemakaian telepok bagimenarik minat aanak muda yang sebelum ini tidak mengetahui pemakaian telepok atau cuma sekadar melihat ibu soko dan orang tua memakainya di kampung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Telepok atau tengkolok merupakan ikatan dikepala daripada kainb batik kepas yang sering dipakai oleh Ibu Soko
Mohd. Faizal bagaimanapun memberitahu, terdapat cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha menarik generasi muda mengenai pemakaian tradisi tersebut.
“Sehubungan itu kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada sekolah di negeri ini mempunyai kelab berkaitan adat sebagai pendedahan awal mengenai Adat Perpatih serta tradisi pemakaian busana tradisional termasuk telepok.
“Ada beberapa sekolah telah menubuhkan kelab ini dan mereka ini akan menyertai apa-apa program yang dianjurkan diperingkat negeri. Ini secara tidak langsung dapat memastikan bahawa soal adat dapat terus diwarisi dan difahami sejak lebih awal.-UTUSAN.










