TEMERLOH: Pihak berkuasa negeri ini diarah menangani isu pencerobohan tanah secara haram dengan tegas dan bersepadu di seluruh negeri ini bagi mengelakkan kerugian besar hasil kepada kerajaan.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, banyak kerugian sudah ditanggung kerajaan negeri susulan penerokaan tersebut.
“Kita tidak boleh rugi lagi dengan sumber-sumber hasil, yuran, sewa tanah dan sebagainya yang mana ada mengambil keuntungan atas angin ekoran aktiviti penerokaan tanah itu.
“Sudah berpuluh tahun rugi, sudah sampai masa kerajaan celik dan beri fokus dengan masalah ini, kalau tidak masalah lebih besar seperti mana kita lalui sekarang,” titah baginda kepada pemberita selepas lawatan rasmi adinda Raja Jordan, Putera Ali Ben Al-Hussein ke Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Lanchang di sini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, tumpuan isu tersebut bukan sahaja di tanah tinggi Cameron Highlands sahaja yang sering mendapat liputan media malah meliputi seluruh daerah di negeri ini.
“Banyak lagi tanah-tanah yang diterokai secara haram, seluruh daerah saya boleh tahu, saya tahu di Raub, Bentong, Rompin dan sebagainya,” titah baginda.
Semalam, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa, demi hawa nafsu dan mementingkan wang ringgit, segelintir individu sanggup menggadaikan integriti dan membiarkan tanah di negeri ini ‘dijajah’ terang-terangan oleh pendatang asing.
Al-Sultan Abdullah dilaporkan bertitah, sebagai contoh, tanah-tanah di Cameron Highlands misalnya, yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha tetapi kini disewakan kepada warga asing. – UTUSAN










