PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat menyempurnakan majlis penganugerahan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Tahun 2024 di lstana Negara, hari ini.
Dalam majlis itu, Seri Paduka berkenan mengurniakan biasiswa bagi pengajian di bidang Doktor Falsafah (PhD) kepada tujuh penerima dan tujuh penerima lagi di peringkat Sarjana (penyelidikan).
Menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim, penerima biasiswa di peringkat PhD ialah Nadrahtul Aqilah Mohd Yahya (Imperial College London – Fizik), Alyssa April Dellow (Universiti Kebangsaan Malaysia UKM – Data Sains) dan Muhammad Aiman Mohd Sukiman (Universiti Teknologi Malaysia UTM – Persekitaran).
Selain itu, Toh Shek Man (Universiti Putra Malaysia – Cancer Pharmacology), Avinash Kumaresan (UKM – Nanoteknologi), Muhammad Faris Hamzi Tuan Ibrahim (UTM – Undang-Undang) dan Jankin Abd Rahman (UPM – Ekonomi).
Peringkat sarjana pula ialah Ahmad Qayyum Fikri Ahmad Jazimin (UPM – Computer Vision AI), Nur Addina Mohamad Rosli (UPM – Pemakanan), Jeyrubini Ramesh (USM – Molecular Omics Technology), Nasihah Mohd Zahid (USM – Nanotechnology), Adam Fansuri Achdiat Mahpha Fansuri (Imperial College London – Bioinformatics & Biocomputing), Muhammad Izzuddin Abdullah (UM – Biokimia) dan Nur Fatin Fitriah Nordin (UPM – Machine Learning).
Biasiswa Yang di-Pertuan Agong merupakan biasiswa berprestij negara diperkenalkan pada 2006 dan sehingga kini 19 sesi penawaran dilaksanakan merangkumi 212 penerima yang diberi penajaan melibatkan pengajian dalam bidang Sains & Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang, Kewangan Islam dan Kecerdasan Buatan (AI).











