TAMPIN: Hasrat seorang pelajar mahu mendapatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) selepas diuji dengan kematian kedua ibu bapanya tercapai apabila dia lulus cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.
Pelajar itu, Y. Sugashini, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar, Tampin itu mendapat kesemua A iaitu bagi mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Tamil, Sejarah dan Ekonomi selepas keputusan peperiksaan STPM 2023 diketahui hari ini.
Menurut Sugashini, mendiang ibunya, N. Jeyamalar, dan bapanya, C. Yogamani itu pasti gembira dengan pencapaiannya itu.
“Ibu meninggal dunia pada bulan November tahun lalu akibat sakit jantung. Bapa pula tahun sebelumnya meninggal dunia semasa dalam cuti sakit akibat kemalangan.
“Saya dan abang, Sivaneshwaran, 23, yang kini belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) menggunakan duit pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendiang bapa sebanyak RM 528 sebulan, ia banyak membantu sejak kematian mereka, bu dan bapa saudara juga turut membantu menjaga kami.
“Kedua-dua ibu bapa saya tidak berpeluang untuk bersekolah semasa kecil dahulu akibat kesusahan hidup. Walaupun kehidupan sukar, saya mahu memastikan diri dapat menyambung pelajaran di universiti, itu janji saya kepad ibu dan ayah yang memang mahukan kami adik-beradik berjaya dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui di di sini, hari ini.
Sementara itu, menurut Sivaneshwaran, dia berbangga dengan pencapaian cemerlang adiknya itu.
“Daripada jumlah RM528 wang Perkeso milik bapa, RM300 adalah untuk membayar duit rumah manakala selebihnya pula adalah bagi perbelanjaan adik saya ini. Saya pula menggunakan sepenuhnya wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk perbelanjaan di universiti.
“Saya masih ingat lagi semangat bapa yang hanya bekerja di kilang batu untuk membesarkan kami dua beradik namun tetap menghantar kami ke sekolah. Kami akan pastikan dapat menamatkan pelajaran di universiti nanti demi ibu bapa kami walaupun mereka telah tiada,” katanya.-UTUSAN.










