WASHINGTON: Keputusan Joe Biden menarik diri daripada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), mewujudkan momentum yang mencukupi untuk Naib Presiden, Kamala Harris menjadi calon Parti Demokrat.
Biden, 81, menyokong Harris menggantikan beliau sebagai calon Parti Demokrat dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada November depan.
Konvensyen Nasional Demokratik di Chicago pada 19 Ogos depan, yang sepatutnya mengisytiharkan Biden sebagai calonnya, kini menjadi pertandingan terbuka apabila hampir 4,700 perwakilan parti akan mengundi mengikut negeri untuk memilih calon pilihan mereka bagi mencabar Donald Trump dari Republikan.
Penganalisis Arab-Amerika menjangka Harris akan menjadi calon Demokrat, walaupun terdapat beberapa calon lain yang berkemungkinan menjadi pertimbangan.
Pengacara rancangan bual bicara di Washington, Asharq News, Rana Abtar percaya Demokrat mesti menunjukkan perpaduan jika ingin memenangi pilihan raya November.
“Harris tidak begitu popular dalam tinjauan pendapat. Ramai Demokrat bimbang peluangnya menentang Trump adalah sama seperti Biden menentang Trump,” katanya.
Pengunduran Biden membolehkan perwakilan konvensyen dari 50 negeri dan wilayah bebas untuk menyokong mana-mana calon.
Selain Harris, beberapa nama lain turut disebut-sebut sebagai pilihan alternatif untuk dipertimbangkan menggantikan Biden, antaranya:
1) J.B. PRITZKER
Gabenor Illinois yang berusia 59 tahun ini adalah seorang calon paling kaya dalam senarai yang mungkin menjadi pilihan.
Beliau menonjolkan kelayakannya melalui beberapa pencapaian utama semasa tempoh perkhidmatannya, seperti hak untuk pengguguran kandungan di Illinois dan mengisytiharkan negeri itu sebagai ‘negeri perlindungan’ untuk wanita yang ingin menggugurkan kandungan.
Pritzker juga berpendirian tegas mengenai kawalan senjata dan menghalalkan penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi di Illinois.
2) GRETCHEN WHITMER
Gabenor Michigan, Gretchen Whitmer, 52, pernah berada dalam senarai pendek sebagai calon Naib Presiden untuk Biden pada tahun 2020.
Kemenangan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal untuk Parti Demokrat juga dikaitkan sebahagiannya dengan kepemimpinan beliau sebagai gabenor.
Sebelum ini, Whitmer memihak kepada undang-undang kawalan senjata yang lebih ketat, memansuhkan larangan pengguguran kandungan dan menyokong program prasekolah sejagat.
3) JOSH SHAPIRO
Nama Shapiro sering disebut-sebut kebelakangan ini dan apabila Biden menarik diri, beliau dijangka menjadi pilihan utama sebagai gandingan Harris jika memenangi pencalonan Demokrat.
Pakar Sains Politik di Universiti Shippensburg di Pennsylvania, Prof. Alison Dagnes berkata, Shapiro menarik perhatian kerana kebijaksanaan politiknya, kemahiran teknologi dan terbukti pemenang di negeri medan pertempuran dengan undian kolej pilihan raya terbanyak.
4) JOE MANCHIN
Senator dari West Virginia berhaluan kanan-tengah ini mempertimbangkan untuk bertanding bagi pencalonan Demokrat selama beberapa tahun.
Beliau berkhidmat di Senat sejak 2010 dan merupakan pengerusi jawatankuasa tenaga dan sumber asli Senat.
Manchin berusaha untuk mendapatkan sokongan di West Virginia, namun pada masa sama sering mengkritik Parti Demokrat secara terbuka.
Pada Mei lalu, beliau mengumumkan untuk meninggalkan Parti Demokrat dan mendaftar sebagai calon bebas.
Namun, pada Ahad lepas, laporan mendakwa Manchin sedang mempertimbangkan untuk mendaftar semula sebagai Demokrat dan mencabar Harris.
5) MICHELLE OBAMA
Nama bekas Wanita Pertama AS, Michelle Obama, 60, juga disebut-sebut dalam kalangan Demokrat yang dijangka boleh bersaing dengan Harris dalam pencalonan.
Beliau adalah wanita Afrika-Amerika pertama yang memegang gelaran tersebut dari 2009 hingga 2017, semasa suaminya, Barack Obama menjadi Presiden AS ke-44.
Selepas meninggalkan White House, Michelle terus menjadi figura berpengaruh dan memberi inspirasi menerusi penerbitan autobiografi ‘Becoming’, berkisar kisah hidup, pengalaman dan pandangan mengenai pelbagai isu sosial serta politik.










