Seremban 2 muncul pasukan terbaik hoki MSSNS 2024 - Utusan Malaysia

Seremban 2 muncul pasukan terbaik hoki MSSNS 2024

AMINUDDIN Kamisan (berdiri tengah) bersama E. Margret bergambar bersama para pemain hoki selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS) 2024 di Seremban.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pasukan hoki daerah Seremban 2 meraih anugerah Pasukan Terbaik dalam Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS) 2024 dalam pusingan akhir yang berlangsung di sini kelmarin.

Pasukan berkenaan menggondol anugerah itu selepas muncul juara dalam perlawanan akhir bagi tiga daripada empat kategori umur yang dipertandingkan dalam kejohanan tersebut.

Kategori yang dimenangi oleh Seremban 2 ialah Lelaki Bawah 18 Tahun (L18), Lelaki Bawah 12 Tahun (L12) dan Perempuan Bawah 12 Tahun (P12).

Pasukan L18 menang ke atas Tampin melalui pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1 pada masa perlawanan sebenar.

Sementara itu, pasukan L12 menewaskan Tampin, 1-0, manakala P12 membelasah Seremban 1 dengan jaringan 6-0.

Bagaimanapun, pasukan Perempuan Bawah 18 Tahun (P18) daerah itu kalah tipis kepada Kuala Pilah, 0-1.

Lebih 560 pemain hoki dari sekolah rendah dan menengah di negeri ini mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut yang berlangsung sejak 22 Julai lalu di Stadium Hoki di Seremban 2 dekat sini.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Sektor Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan negeri, Aminuddin Kamisan.

Yang turut hadir Guru Besar Sekolah Kebangsaan St. Paul, E. Margret.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN