SEREMBAN: Bermula dengan hanya mengumpul rantai kunci (keychain) sebagai koleksi peribadi, rumah seorang eksekutif kilang di Taman Panchor Jaya di sini tidak ubah seperti sebuah galeri pameran.
Apa tidaknya, rumah milik Ridzwan Darus, 53, dipenuhi dengan pelbagai barangan termasuk barangan antik seperti pinggan mangkuk, seterika tembaga, telefon dan jam lama yang semuanya tersusun rapi.
Lebih menarik, Ridzwan berkata, kesemua barangan tersebut bukan hanya milik dirinya malahan turut dikumpul oleh isterinya, Fouzia Mahamad Hamli, 54, dan dua orang anaknya iaitu Muhamad Aidil Fakhri Ridzwan, 24 dan Muhamad Alif Ridzwan, 12.
“Bermula dengan keychain sedikit demi sedikit saya mengumpul pelbagai barangan lain terutamanya barangan lama dan antik, semuanya saya susun rapi, memang penuh dalam rumah ini dan tidak ubah seperti sebuah galeri antik.
“Minat mengumpul barangan tersebut diikuti pula oleh isteri dan anak-anak, mereka masing-masing mempunyai koleksi sendiri seperti isteri gemar mengumpul mangkuk tingkat manakala Muhamad Aidil pula kini semakin seronok mengumpul koleksi piring hitam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Ridzwan menambah, walaupun mengeluarkan banyak belanja untuk minatnya itu, dia mengakui puas apatah lagi dapat berkongsi minatnya dengan orang lain.
“Kadangkala saudara mara dan jiran seronok datang ke rumah kerana bagi mereka rumah ini unik dan tidak melepaskan peluang bergambar, saya tidak kisah berkongsikan minat ini dengan orang lain,” katanya.
Selain menyimpan untuk koleksi peribadi, ada juga barangan yang dikumpulnya dijual.
“Setiap hari Ahad saya akan menjual di Pasar Karat Seremban selain saya turut mempunyai kedai menjual barangan antik dan koleksi ini di Bazar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan di Jalan Dato Abdul Rahman, Seremban,” ujarnya.










