GUA MUSANG: Seorang lelaki sanggup berulang alik sejauh 256 kilometer (km) dari Raub, Pahang ke kawasan jajahan semata-mata mahu membeli buah durian untuk dibawa pulang dan dijual kepada orang ramai di kawasan berkenaan.
Yap Kah Fei, 26, berkata, setiap hari dia memborong satu tan durian jenis musang king, duri hitam, tekka, D24 dan durian kampung bagi menampung permintaan pelanggan.
“Seawal pukul 4 pagi saya akan akan memulakan perjalanan ke Gua Musang dengan memandu trak pikap untuk mengambil buah durian.
“Pada tahun ini durian di kawasan Raub juga tidak mencukupi menyebabkan kami terpaksa mengambil durian dari luar termasuk di Gua Musang. Durian di sini terutamanya musang king sangat berkualiti sehingga saya dapat proses serta mengekportnya ke Singapura, China, Hong Kong dan Indonesia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi pekebun durian Chong Yok Fon, 45, dari Kampung Batu Papan 2 memberitahu, dia tidak menang tangan menerima permintaan daripada pelanggan dan pemborong sejak raja buah itu mula luruh awal bulan ini.
Katanya, dia mula menerima tempahan hampir setengah tan durian jenis musang king sehari daripada pelanggan dan pemborong untuk pasaran di ibu negara dan Raub.
“Permintaan durian musang king kekal tinggi meskipun harga jualannya meningkat pada tahun ini. Buah durian musang king yang ditanam sejak hampir 30 tahun lalu berkualiti tinggi dan rasanya yang sedap menjadikannya sentiasa mendapat permintaan tinggi.
“Pada tahun ini 500 batang pokok durian musang king mampu mengeluarkan lebih 4,000 biji buah manakala durian gred A kurang tahun ini berbanding gred B dan C,” ujarnya.
Yok Fon memberitahu, setiap hari seawal pukul 4 pagi dia juga sudah keluar untuk mengutip buah durian menggunakan kenderaan pacuan empat roda.










