Russia, China makin akrab

Russia, China makin akrab

CHINA dianggap sebagai penyokong utama peperangan Russia-Ukraine.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mendakwa Beijing memainkan peranan penting dalam membantu operasi khas ketenteraan Moscow terhadap Ukraine,yang berlarutan sejak dua tahun lalu.

Malah, pemimpin NATO juga melahirkan kebimbangan melihat hubungan China-Russia yang semakin akrab.

Kebimbangan itu disuarakan pemimpin NATO menerusi deklarasi sempena sidang kemuncak pakatan terbabit.

China dianggap sebagai penyokong utama peperangan Russia-Ukraine, yang dikatakan menerusi perkongsian ‘tanpa had’ dan sokongan berskala besar untuk asas industri pertahanan Russia.

NATO turut meminta Beijing menghentikan semua sokongan kepada usaha perang Moscow.

“Ini termasuk pemindahan bahan dwikegunaan seperti komponen senjata, peralatan dan bahan mentah yang berfungsi sebagai input untuk sektor pertahanan Russia.

“China tidak boleh membantu perang terbesar di Eropah dalam sejarah baharu tanpa memberi kesan negatif kepada kepentingan dan reputasinya,” katanya.

Deklarasi itu dikeluarkan sebelum pemimpin Australia, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan menghadiri Sidang Kemuncak NATO, semalam.

Sebelum ini, Beijing menafikan dakwaan NATO dan menjelaskan pakatan diketuai Amerika Syarikat (AS) itu hanya mencari alasan untuk memperluaskan pengaruh ke timur.

AS mendesak sekutunya di Eropah untuk memberikan lebih perhatian kepada ancaman ditimbulkan China, sejak beberapa tahun lalu.

“Saya berpandangan, mesej disampaikan NATO pada sidang kemuncak ini sangat jelas dan kami secara jelas menentukan tanggungjawab China berhubung sokongannya terhadap perang Russia,” kata Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg.

NATO SALUR RM201 BILION KE UKRAINE

Dalam perkembangan lain, pemimpin NATO berjanji untuk menyalurkan bantuan ketenteraan berjumlah AS$43 bilion (RM201 bilion) tahun depan, bagi memperkukuhkan aspek pertahanan menentang serangan Russia.

Ikrar itu dilafazkan selepas siding kemuncak NATO di Washington, Rabu lalu, bagi meningkatkan keselamatan di Ukraine dan Eropah.

AS berkata, pihaknya akan menggunakan peluru berpandu jarak jauh di Jerman pada 2026, yang menandakan satu Langkah besar bertujuan untuk menentang ancaman Russia yang semakin meningkat di Eropah.

Langkah itu akan menghantar Jerman senjata AS paling canggih untuk berpangkalan di Eropah sejak Perang Dingin.

Sebelum ini, senjata itu diharamkan di bawah Perjanjian Angkatan Nuklear Jarak Pertengahan yang ditandatangani oleh AS dan Kesatuan Soviet pada 1987, sebelum dibatalkan pada 2019.

Sementara itu, Stoltenberg menjelaskan Ukraine tidak akan menyertai barisan perikatan itu serta merta, tetapi menegaskan perkara itu mesti berlaku selepas perang tamat untuk memastikan Russia tidak menyerang Kyiv lagi.

Beliau juga memaklumkan penghantaran bantuan ketenteraan bukan bermaksud berniat untuk memanjangkan peperangan,sebaliknya ia adalah langkah untuk menamatkan peperangan dengan segera.

Sebelum ini, AS dan beberapa negara lain menentang keahlian Ukraine dalam NATO kerana mahu mengelakkan ketegangan yang berisiko menjurus perang lebih besar.

Malah, Ukraine juga perlu mengambil langkah penting untuk menangani rasuah serta reformasi sistematik lain. –AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×