KOTA TINGGI: Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 10 projek bagi program Kampung Angkat Madani Kementerian Pertahanan di Kampung Baru Pasak, dekat sini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak berkata, projek yang sedang projek berkenaan termasuk menaik taraf jalan, balai raya, infrastruktur, pemasangan lampu jalan, membaik pulih gelanggang serbaguna dan lima buah rumah penduduk yang melibatkan kos sehingga RM17,000 sebuah.
Menurutnya, projek berkenaan turut melibatkan pembinaan surau baharu, dua pusat komuniti, program gotong-royong perdana Madani serta penganjuran pelbagai kursus dan latihan bagi penduduk.
“Kebanyakan projek ini dijangka siap sepenuhnya hujung bulan Oktober dan juga November nanti la tapi kebanyakannya akan siap pada Oktober. Ini termasuk perpindahan surau kampung ini yang akan ambil masa 18 minggu.
“Kontraktor yang kita gunakan juga adalah daripada tempatan dari kawasan sini dan berdekatan kita tak ambil dari luar,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Kampung Baru Pasak, hari ini.
Katanya, pemilihan kampung angkat itu tertakluk terhadap kriteria yang ditetapkan dan Kampung Baru Pasak memenuhi kriteria oleh pihak kementeriannya.
“Apa yang penting impak daripada perlaksanaan projek tersebut seperti pemasangan lampu jalan akan jadikan jalan terang dan ia akan beri keselamatan, perjalanan pula akan kurangkan kemalangan.
“Balai raya pula akan lebih selesa untuk orang ramai, surau pun sama lebih ramai boleh imarahkan. Jadi, maklumat-maklumat kepada orang kampung dapat diberikan dengan lebih cepat lebih optimum dan keselesaan. Diharapkan juga dapat membantu menyemarakkan lagi aktiviti-aktiviti lain termasuk sosial dan ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu Ketua Kampung Baru Pasak, Mohd. Ridzwan Midi berkata, selama ini orang kampung terpaksa keluar dari kampung untuk menggunakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur.
“Surau pula semakin hari semakin bertambah jemaah kerana banyak rumah baharu telah dibina di sini, secara tidak langsung penduduk semakin ramai. Saya ucap ribuan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan kerana memilih kampung ini sebagai Kampung Angkat Madani, semoga apa diberikan dapat digunakan sebaiknya oleh penduduk,” katanya. – UTUSAN











