Pusat Data TM-Nxera di EduCity - Utusan Malaysia

Pusat Data TM-Nxera di EduCity

GOBIND SINGH DEO (tiga dari kiri) serta Low Yen Ling (dua dari kanan) melakukan simbolik pecah tanah Pusat Data Kampus TM dan Nxera di EduCity, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerjasama Telekom Malaysia (TM) dengan Nxera, cabang pusat data serantau unit Digital InfraCo Singtel akan meningkatkan status negara ini sebagai hab digital di Asia Tenggara.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kerjasama antara dua syarikat besar telekomunikasi itu membangunkan pusat data membuka pintu kemasukan lebih ramai pelabur asing dan berpotensi menjadi pusat pelaburan global.

Katanya, pusat data kampus yang menggunakan kecerdasan buatan (Ai) yang bakal dibangunkan di kawasan EduCity, dekat sini berbeza berbanding pusat data lain.

“Kampus pusat data berkapasiti 64 megawatt (MW) ini canggih, mapan, mempunyai ketersambungan hiper dan berpaksikan AI sedia memperkukuh infrastruktur digital berkualiti tinggi.

“Ia juga menyokong usaha kerajaan untuk memacu ekonomi digital dan mengubah negara menjadi hab untuk pertumbuhan perindustrian, pembangunan Al dan inovasi,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Data Kampus TM dan Nxera di EduCity, di sini hari inI yang turut dihadiri Menteri Kanan Perdagangan dan Industri merangkap Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura, Low Yen Ling; Pengerusi, Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md. Deris.

Pada bulan lalu, TM mengumumkan jalinan kerjasama dengan Nxera bagi membangunkan pusat data di Malaysia bermula dengan kampus pusat data sedia AI yang mapan dan ketersambungan tinggi di Johor.

Terletak di Iskandar Puteri, hanya 16 kilometer dari Singapura, kampus pusat data itu akan menjadi yang terbesar setakat ini bagi TM dan Nxera serta fasa awal dirancang untuk 64 megawatt (MW) dan boleh ditingkatkan sehingga 200MW berdasarkan permintaan pasaran.

Kerjasama strategik itu bertujuan untuk memenuhi keperluan ‘hyperscaler’, penyedia aplikasi AI generasi baharu dan perusahaan yang mahu mempercepatkan pendigitalan dan pengkomputeran awan di rantau ini.

Menurut Gobind, pembangunan pusat data kampus itu bukan sahaja menekankan kepentingan infrastruktur AI, malah menumpukan terhadap aspek pembangunan bakat dan tenaga mahir yang cukup.

“Kolaborasi antara syarikat besar (TM dan Nxera) itu tanda positif untuk kita. Malaysia yang akan mempengerusikan Mesyuarat ASEAN mampu menonjolkan potensi negara sebagai satu destinasi pelaburan bagi sektor pusat data.

“Negara ada tenaga, air yang cukup, serta mempunyai kerajaan negeri (Johor) yang telah mewujudkan proses meluluskan permohonan tanah dengan mudah, ini perkara yang berikan kita kelebihan kerana dibandingkan dengan negara lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×