DHAKA: Kerajaan Bangladesh dijangka mengharamkan parti Islam utama dan sayap pelajarnya yang dituduh bertanggungjawab dalam keganasan semasa protes menentang peraturan pengambilan kakitangan awam, baru-baru ini.
Tindakan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Sheikh Hasina menyalahkan parti Jamaat-e-Islami dan pembangkang, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) terhadap keganasan yang memaksanya mengenakan perintah berkurung.
Menteri Undang-Undang, Keadilan dan Hal Ehwal Parlimen, Anisul Huq berkata, larangan itu akan diterima pakai melalui perintah eksekutif hari ini.
“Keputusan ini dibuat demi negara,” katanya.
Mengecam keputusan itu, Jamaat dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan pemerintah yang dipimpin oleh Liga Awami sebagai tidak sah, di luar perlembagaan dan melanggar undang-undang.
Pemimpin parti tersebut, Shafiqur Rahman menafikan kenyataan kerajaan yang menuduh Jamaat sebagai punca tercetusnya keganasan.
“Dengan menggunakan jentera kerajaan, mereka menyalahkan Jamaat dan parti pembangkang lain,” katanya.
Keputusan mahkamah pada 2013 melarang Jamaat daripada bertanding dalam pilihan raya, berikutan pendaftarannya sebagai parti politik bertentangan dengan Perlembagaan sekular negara itu.
Bangladesh menutup perkhidmatan internet dan mengerah tentera untuk menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh negara, ketika demontrasi meluas sejak tercetus pada Jun.
Kira-kira 150 orang maut, manakala ribuan yang lain cedera apabila pasukan keselamatan melepaskan peluru getah, gas pemedih mata dan bom tangan untuk menyuraikan puluhan ribu penunjuk perasaan di jalanan.- REUTERS










