KAMPALA: Presiden Uganda, Yoweri Museveni memberi amaran keras terhadap rakyatnya untuk tidak merancang mengadakan protes antirasuah di negara itu.
Protes berlaku selepas gelombang demonstrasi antikerajaan yang membawa maut sehingga menggemparkan negara jiran, Kenya.
Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan, sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan negara itu.
Museveni, 79, pemerintah kuku besi selama hampir empat dekad, ketika berucap di televisyen, menegaskan tidak akan membenarkan perarakan antirasuah.
“Apa hak yang kamu ada untuk mencetuskan tingkah laku huru-hara? Kami sibuk menghasilkan makanan murah, orang lain di bahagian lain dunia sedang kelaparan, kamu di sini mahu menganggu kami.
“Kamu cuba bermain api kerana kami tidak boleh membenarkan kamu mengganggu kami,” kata Museveni dalam ucapan selama tiga jam yang merangkumi pelbagai isu.
Di media sosial, ramai golongan muda Uganda merancang untuk meneruskan perarakan ke Parlimen negara itu, walaupun polis enggan mengeluarkan permit untuk membenarkan protes tersebut.
Pasukan Polis Uganda menyifatkan protes yang dirancang ‘berpotensi anarki’ dan memberi amaran pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kelakuan tidak senonoh.
Beberapa penunjuk perasaan yang merancang untuk menyertai perarakan pada Selasa, mula berkongsi gambar di media sosial, menggesa rakyat lain untuk mengingati mereka jika tidak pulang dengan selamat.
“Sekiranya saya diculik atau mati dalam perarakan, anda boleh menggunakan (foto) ini untuk mewujudkan kesedaran.
“Jika tidak, beritahu ibu, saya memainkan peranan penting dalam menyelamatkan negara ini! Saya tahu dia akan gembira,” kata seorang aktivis, Ashiraf Hector di X.
Sekumpulan peguam dan aktivis berkata, polis tidak boleh mengikut undang-undang untuk menghentikan protes aman.
“Polis tidak boleh melarang demontrasi daripada diteruskan tetapi mempunyai kuasa untuk mengawal selia bagi memastikan ia berlangsung dalam batasan undang-undang,” katanya.
Pada masa sama, mereka turut menggesa Museveni agar memastikan hak Perlembagaan untuk berhimpun dan berdemonstrasi secara aman tidak dilanggar dengan sewenang-wenangnya oleh agensi keselamatan.- CNN










